-fotoBERNAMA (2019) COPYRIGHT RESERVED
GLOBAL

ASEAN perlu bersatu tangani isu Laut China Selatan

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Kaedah terbaik bagi ASEAN menangani isu Laut China Selatan dan menyempurnakan Kod Tata Laku (COC) adalah dengan bersatu dalam satu suara, kata bekas Menteri Luar Indonesia Dr Marty Natalegawa.

Beliau yang berkhidmat dari 2009 hingga 2014 berkata adalah penting agar badan serantau 10 negara itu senada, meskipun setiap negara anggota mungkin mempunyai kepentingan berbeza.

“Sangat penting bagi negara Asia Tenggara apabila berdepan masalah seperti isu Laut China Selatan, kita tidak boleh berpecah’, sebaliknya bersatu padu walaupun pihak yang menuntut hanya sebahagian daripada kita.

“Pada masa sama perkara itu memberikan kesan kepada kita semua. Kita perlu mengukuhkan pendirian kita dalam perbincangan dengan China mengenai COC,” katanya kepada Bernama dan RTM, selepas pelancaran buku tulisannya “Does ASEAN Matter? A View from Within” di sini.

Buku itu dilancarkan di luar Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-33 yang berakhir semalam.

Antara negara anggota ASEAN hanya Malaysia, Vietnam, Filipina dan Brunei yang menuntut kawasan Laut China Selatan.

Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 baru-baru ini di Bangkok telah menggesa negara anggota bersama-sama dalam merangka COC supaya pertikaian mengenai isu terbabit dapat diselesaikan dengan baik.

Pendirian Malaysia mengenai pertikaian itu ialah, ia tidak sepatutnya dibincangkan secara berasingan di kalangan negara anggota yang membuat tuntutan.

Bekas wakil tetap Indonesia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dari tahun 2007-2009 itu, turut mengingatkan ASEAN perlu teguh bersatu yang mana ia menuntut banyak pengorbanan.

Beliau berkata untuk ASEAN terus kekal relevan, satu perkara paling utama ialah mengekalkan perpaduan.

“Kita semua (perlu) sentiasa bercakap mengenai perpaduan. Ia perlu bukan sekadar mantra semata-mata. Ia perlu dibuktikan, perlu ditunjukkan. Dan apabila berlaku pergeseran, perlu ada usaha serius untuk mengembalikan perpaduan,” katanya.

“Malah ASEAN hanya akan kuat apabila kita bersatu. Tetapi bila berpecah kita cenderung untuk mencegah dan malah cenderung untuk mengendurkannya.”

Mengenai buku hasil nurkilannya setebal 258 muka surat itu, Natalegawa berkata beliau berkongsi pemikirannya sendiri, mengenai apa yang masih perlu dilakukan ASEAN selain meraikan pencapaian masa lalu blok itu.

Buku itu diterbitkan pada akhir 2018 di Singapura oleh ISEAS. Sebelum ini ia telah dilancarkan di beberapa negara Asean seperti Singapura dan Thailand.

Berharga RM124, diedarkan di Malaysia oleh GERAKBUDAYA Enterprise. Maklumat lanjut boleh didapati di www.gerakbudaya.com.

-BERNAMA


Pengarang :