NASIONAL

ATM tahan 20 PATI Myanmar di Bukit Kayu Hitam

ALOR SETAR, 30 JUN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menahan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di sebuah rumah kongsi di belakang sebuah stesen minyak dekat Bukit Kayu Hitam, kelmarin.

Panglima 6 Briged Brigadier Jeneral Mohd Halim Khalid berkata dalam tangkapan pada pukul 11 malam itu melibatkan PATI berusia antara 20 hingga 30 tahun yang dipercayai baru menyusup masuk melalui pagar sempadan yang dipecahkan.

“Pada mulanya pasukan ronda 6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD) yang menjalankan rondaan kenderaan ternampak kelibat sekumpulan manusia di luar rumah kongsi berkenaan, tidak berapa lama kemudian terdapat sebuah kereta Proton Wira berwarna biru bergerak dari rumah terbabit.

“Kereta itu berada hampir 2 jam di rumah berkenaan sebelum bergerak menghala ke Changlun, curiga dengan keadaan itu, pasukan yang diketuai oleh Mejar Prabhakaran Rajagopal membuat serbuan dan menahan 20 PATI terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Halim berkata berdasarkan siasatan awal, tekong terbabit dipercayai rakyat tempatan telah berjanji untuk mengambil PATI terbabit dari lokasi rumah itu untuk dibawa ke tempat lain.

Katanya PATI berkenaan dipercayai dijanjikan untuk mendapat pekerjaan di negara ini.

“Semua PATI kemudiannya diserahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Bukit Kayu Hitam untuk laporan dan tindakan lanjut,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :