BERITA UTAMASELANGOR

Awam: Dedikasi, semangat juang tinggi Amirudin dipuji

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 JUN: Dedikasi, integriti dan semangat juang tinggi jelas memperlihatkan kesungguhan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam menerajui kepimpinan di Selangor.

Bekas Koordinator KEADILAN Kota Damansara, Mohd Razlan Jalaluddin berkata, meskipun Selangor bukan sebuah negeri yang mudah ditadbir berikutan kepadatan penduduknya, namun beliau optimis pemimpin berusia 39 tahun itu mampu memikul peranan dan kepercayaan diberi sebaik mungkin.

“Kepesatan ekonomi adalah satu cabaran yang amat tinggi untuk beliau (Amirudin) sepanjang setahun menjadi Menteri Besar, bagaimanapun beliau dapat mengharungi dengan penuh ketabahan.

“Saya berharap beliau dapat meneruskan kerja baik dan usaha keras yang ditinggalkan mantan MB kerana saya percaya ‘benchmark’ diletakkan terhadap beliau agak tinggi,” katanya.

Bagi penjawat awam, Zafrullah Aris, 35, berkata Kerajaan Negeri seharusnya berpendirian teguh dalam setiap agenda yang dilaksanakan demi memastikan Selangor dilihat sebagai sebuah negeri contoh.

Katanya, hasrat Kerajaan Negeri bukan untuk menjadikan Selangor sebagai jaguh dalam negara sahaja, bahkan mencapai kemajuan yang setanding negara maju lain di Asia Tenggara.

“Justeru, saya amat berharap supaya beliau (Amirudin) terus istiqamah dalam menjadikan Selangor sebagai negeri contoh seterusnya menjadi panduan buat negeri lain di luar sana untuk mengecapi yang terbaik sama seperti rakyat Selangor kecapi.

“Beliau juga harus meneruskan gaya penampilan yang memberi keselesaan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu dikenali sebagai Panja, 65, berkata sepanjang setahun pentadbiran di bawah Dato’ Menteri Besar yang baharu, kebanyakan isu membabitkan rumah ibadat mampu diselesaikan sebaiknya.

Malah katanya, pelbagai bentuk inisiatif dilaksana demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat tanpa mengira kaum, kepercayaan politik dan agama di negeri ini.

“Walaupun tidak semua manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN) dapat dilaksanakan, tetapi kita perlu memberi masa kepada mereka. Bagaimanapun, di Selangor saya yakin Menteri Besar dapat menyempurakan hasrat di negeri ini.

“Kita harus memberi sokongan kepada kerajaan bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan sempurna demi membela nasib rakyat,” katanya.


Pengarang :