fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
RENCANA

Awas, 93% kes keracunan berlaku di rumah

GEORGE TOWN, 11 JUN: Apabila menyebut tentang keracunan, ramai yang memandang enteng dan menganggap ia mungkin jarang berlaku atau barangkali mungkin lebih terdedah dan kerap berlaku di kawasan perindustrian seperti kilang serta di ladang.

Hakikatnya tahukah anda kes keracunan ini sebenarnya berpotensi besar berlaku di dalam laman rumah anda sendiri jika tidak berwaspada.

Pegawai Farmasi Unit Maklumat dan Racun, Pusat Racun Negara (PRN), Asdariah Misnan berkata, mengikut statistik PRN, sebanyak 93 peratus kes keracunan adalah berlaku di rumah sejak 2006 hingga 2015.

“Dalam tempoh 10 tahun, 93 peratus kes keracunan ini memang berlaku di rumah termasuk kes keracunan yang tidak disengajakan.

“Daripada 93 peratus ini, 66 peratus merupakan keracunan tidak sengaja membabitkan produk bahan kimia isi rumah (33 peratus) dan ubat-ubatan juga 33 peratus.

“Selain itu, kes keracunan tidak sengaja membabitkan kanak-kanak berumur satu hingga sembilan tahun adalah 46 peratus, manakala kes keracunan membabitkan produk bahan kimia isi rumah melibatkan produk pencuci dan peluntur adalah sebanyak 54 peratus,” katanya kepada Bernama ketika di temui di PRN di Universiti Sains Malaysia baru-baru ini.

Asdariah berkata dalam kes keracunan yang terjadi kalangan kanak-kanak adalah melibatkan 50 peratus dan boleh dikatakan setiap hari PRN menerima panggilan atau kes keracunan melibatkan kanak-kanak.

“Setiap hari PRN akan mendapat panggilan dalam 10 ke 20 panggilan pada waktu pejabat dan jikalau malam biasanya kami akan peroleh dalam 10 panggilan dan daripada tiga panggilan itu selalunya satu kes pastinya kanak-kanak. Kes keracunan kanak-kanak biasanya yang kerap terjadi disebabkan banyak faktor dan ia selalu tidak sengaja.

“Biasanya ia melibatkan peluntur, detergen, sabun mandi, sabun basuh kain, pencuci yang tidak diletak di tempat sepatutnya atau di tempat tersembunyi oleh orang dewasa.

“Paling kerap terjadi contohnya seseorang individu dalam isi rumah itu meletakkan perkara yang disebutkan tadi di dalam cawan dengan niat untuk letak sekejap sahaja, apabila datang kanak-kanak mereka ingatkan minuman dan terus minum,” katanya.

Selain itu Asdariah berkata ada kalangan anggota keluarga yang gemar meletakkan bahan-bahan tersebut di bahagian bawah dan bagi kanak-kanak yang berumur dua dan tiga tahun melihatkan bahan-bahan (biasanya peluntur) itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan ingin mencubanya.

“Terbaru pada bulan lalu (Mei) yang diterima PRN adalah seorang daripada sebuah keluarga telah memindahkan cecair pencuci pinggan mangkuk Sunlight ke dalam botol minuman Vitagen. Tidak pasti bagaimana ia boleh berada di dalam peti sejuk. Mungkin ada ahli keluarga yang lain terlihat botol minuman ini di atas meja lalu meletakkannya ke dalam peti sejuk.

“Kemudian botol minuman yang ada di dalam peti sejuk itu itu telah diminum oleh seorang anggota keluarga itu. Maka sangat perlu berhati-hati dengan perkara seperti ini,” katanya.

Dalam pada itu Asdariah turut mengingatkan para ibu bapa agar berhati-hati di musim perayaan ini dan memantau anak-anak yang gemar bermain mercun.

Katanya terdapat kes seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun telah kehilangan kening matanya akibat bermain mercun buatan sendiri.

“Kanak-kanak itu telah mencampurkan serbuk karbid ke dalam air lalu mencucuhnya dan ia meletup. Karbid sangat cepat bertindak balas dengan air menghasilkan gas acetylene yang sangat mudah terbakar dan juga boleh meletup dengan tiba-tiba.

“Kombinasi sifat ingin mencuba, sifat ingin tahu dan keseronokan bermain mercun boleh membahayakan diri mereka,” katanya.

Asdariah berkata adalah perlu bagi setiap ibu bapa, juga masyarakat memliki kepekaan yang tinggi berhubung kes keracunan yang kerap terjadi di kediaman sendiri bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Katanya sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini melibatkan keracunan, segera mendapatkan rawatan ke hospital atau menghubungi PRN untuk mendapat maklumat lanjut apa yang perlu dilakukan segera.

PRN merupakan satu-satunya pusat rujukan maklumat bagi kes-kes keracunan di Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :