BUKIT MERTAJAM, 16 Jun — Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melambaikan tangan ke arah orang ramai semasa meninggalkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DUN Seberang Jaya di Bandar Perda hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMANASIONAL

Azmin fokus gubal dasar baharu demi kelangsungan ekonomi

BUKIT MERTAJAM, 16 JUN: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tetap optimis dan berikrar untuk terus berkhidmat dengan memastikan kementeriannya dapat menggubal beberapa dasar baharu bagi memastikan penjanaan ekonomi negara yang lebih mampan.

“Fokus saya sekarang adalah untuk terus memastikan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dapat menggubal dasar baharu dan sekarang ini kita sudah memulakan perbincangan tentang Rancangan Malaysia ke-12 sejak sebulan yang lalu,” katanya.

Beliau berkata kerajaan mahu pendekatan baharu diambil bagi memastikan penjanaan ekonomi yang lebih mampan serta dapat mengembalikan semula keyakinan pelabur asing kepada Malaysia.

“Saya nampak perkembangan positif dan kita berikan tumpuan kepada hasil baharu negara dan teknologi baharu seperti Artificial Intelligent, digital dan sebagainya kerana itulah yang dapat menjana pertumbuhan dan sumber baharu bagi negara,” katanya.

Walaupun sedang berdepan ujian paling getir dalam karier politiknya, Mohamed Azmin yang kelihatan tenang ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, di sini mahu memberi tumpuan dalam mengembalikan semula keyakinan pelabur asing kepada pasaran Malaysia.

“Saya kena banyak bersabar dan akan terus bertabah. Saya yakin ini adalah politik kotor orang yang ‘desperate’, yang tewas dan tidak lagi mendapat sokongan rakyat, yang cuba menggunakan taktik kotor seperti ini tetapi bagi saya sebagai pemimpin, kita harus tegas dengan perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin berkata kementeriannya akan meneruskan perbincangan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang yang merupakan antara negeri yang termaju di Malaysia dan penyumbang terpenting kepada ekonomi negara.

Beliau berkata perbincangan itu akan menyentuh isu pengagihan pertumbuhan hasil ekonomi serta memastikan keperluan seluruh rakyat Pulau Pinang dapat dijamin dan diberikan perhatian.

“Kita mahu pembangunan di negeri ini dapat diteruskan bukan sahaja di bahagian pulau tetapi juga di Seberang Perai. Kita mahu semua warga Pulau Pinang mendapat hak pembangunan yang adil dan saksama,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :