NASIONAL

Azmin perlu fokus jalankan tugas-Wanita KEADILAN

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 15 JUN: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali disarankan terus memberi tumpuan terhadap tugas demi memastikan kemajuan dan pembangunan negara.

Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha berkata, pihaknya turut sepakat menyokong kepimpinan Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden parti serta bersama-sama menghadapi ujian terbabit.

“Sokongan kita semua (Wanita KEADILAN) tidak berbelah bagi dan tidak sepatutnya menyokong politik durjana yang dirancang pihak tertentu,” katanya pada sidang media di Rumah Terbuka Wanita KEADILAN, di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.

Semalam, sebuah badan bukan kerajaan yang menamakan diri mereka Otai Reformasi dilaporkan menggesa Putrajaya merehatkan Mohamed Azmin daripada tugasnya sebagai menteri susulan kontroversi kes video lucah yang dikaitkan dirinya bersama seorang lelaki.

Mengulas lanjut, Haniza turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan segera dan mengesan mana-mana pihak yang menyebar serta mengedarkan video itu sewenang-wenangnya.

Katanya, beliau percaya kemampuan SKMM untuk mengesan sumber yang mengeluarkan video terbabit.

“Jangan terperanjat jika ada lagi video yang akan dikeluarkan, jadi SKMM perlu bersiap sedia untuk hadapi situasi ini dan ambil tindakan segera sesiapa sahaja yang mengedar video berkenaan.

“Tindakan perlu diambil sebab ini sahaja cara untuk kita membanteras pihak yang sewenang-wenangnya menggunakan internet untuk tujuan jahat,” katanya.


Pengarang :