NASIONAL

Azmin terharu terima pesanan mufti

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 JUN: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meluahkan rasa terharu atas pesanan dan nasihat Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri susulan ujian yang dilaluinya kini.

Menerusi ciapan Twitternya, Mohamed Azmin berkata, pertemuan petang semalam itu memperkukuh semangatnya untuk meneruskan khidmat demi umat dan negara.

“Saya amat terharu dengan pesanan dan nasihat Mufti Wilayah Persekutuan @drzul_albakri untuk saya dan keluarga tatkala badai fitnah mengganas.

“Pertemuan petang semalam memperkukuh semangat saya untuk meneruskan khidmat demi umat dan negara,” tulisnya.

Mohamed Azmin turut memuat naik sepucuk surat dari mufti berkenaan yang mahu beliau terus komited dan konsisten berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam apa jua tindakan serta tugas seharian.

“Saya sentiasa berdoa Allah yang maha kuasa memberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi saat genting ketika mana fitnah yang mengganas. Semoga gerhana itu berlalu pergi,” kata mufti.

Sebelum ini, Dr Zulkifli mengakui berasa gusar dengan penyebaran video berkenaan yang bakal mendatangkan pelbagai masalah kepada umat Islam di negara ini, pada masa akan datang.

Beliau turut mencadangkan semua pihak sentiasa bermuhasabah dengan mengingati Allah SWT kerana setiap perbuatan pasti akan diperhitungkan satu persatu.

Terdahulu, Mohamed Azmin menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk membuat siasatan menyeluruh berhubung penularan video skandal seks yang mengaitkan beliau dan Ketua Angkatan Muda keadilan (AMK) Santubong, Muhammad Haziq Abdul Aziz.

Timbalan Presiden KEADILAN itu juga berjanji akan memberikan sepenuh komitmen terhadap siasatan terbabit dan berharap ia tidak diganggu mana-mana pihak.


Pengarang :