NASIONAL

Bakke Salleh Pengerusi FELDA baharu

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 JUN: Tan Sri Mohd Bakke Salleh dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang baharu, berkuatkuasa 1 Julai.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelantikan itu telah dipersetujui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed untuk tempoh dua tahun iaitu sehingga 30 Jun 2021.

Katanya, Mohd Bakke adalah seorang tokoh korporat berintegriti dan berwibawa yang mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat termasuk industri perladangan.

“Saya yakin beliau mempunyai kepimpinan meneruskan usaha mengembalikan FELDA sebagai sebuah agensi yang mampu mengangkat martabat peneroka dan menjamin kelestarian FELDA,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, beliau mengambil maklum hasrat Tan Sri Dato’ Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor melepaskan jawatan sebagai Pengerusi FELDA berkuatkuasa pada 30 Jun 2019.

Katanya, Megat Zaharuddin telah memberi sumbangan idea yang bernas dan progresif dalam usaha Kerajaan Pakatan Harapan membina semula FELDA.

“Beliau bersama pengurusan FELDA yang baru telah berusaha gigih dan memberi sepenuh komitmen untuk menyiapkan Kertas Putih yang menggariskan satu pelan pemulihan ke arah kelestarian FELDA dan telah dibentang dan diluluskan oleh Parlimen.

“Saya menghormati hasrat Tan Sri Megat Zaharuddin dan bersetuju menerima keputusan beliau,” katanya.


Pengarang :