NASIONALRENCANA

Balik kampung dahulu dan sekarang

OLEH NAZLI IBRAHIM

Amalan pulang ke kampung sebelum menjelang hari raya aidilfitri sudah menjadi satu kemestian kepada anak-anak di perantauan.

Amalan sejak dahulu ini membolehkan semua ahli keluarga dan sanak saudara berkumpul di rumah orang tua di kampung halaman masing-masing, pada 1 Syawal nanti.

Hari raya seolah-olah menjadi tidak lengkap dan kurang meriah sekiranya tidak dapat pulang beraya di kampung.

Amalan yang sudah menjadi tradisi ini tercetus sejak bermulanya pembangunan pesat ekonomi di bandar-bandar utama yang mendorong penghijrahan anak muda dari desa ke bandar-bandar besar khasnya ibu negara, Bandaraya Kuala Lumpur.

Namun, disebalik tradisi pulang beraya di kampung ini, terdapat banyak perbezaan antara dahulu dan sekarang.

Balik kampung dulu-dulu

Pada era 1980-an dan 1990-an, boleh dikatakan pengangkutan bas, khasnya bas ekspress menjadi pilihan utama anak di perantauan.

Pada masa itu, tiket bas perlu dibeli sehingga sebulan sebelum cuti raya bagi mengelakkan kehabisan tiket.

Ketika itu, senario orang ramai beratur panjang di kaunter tiket seperti di Perhentian Bas Pudu Raya sejak 1 Ramadan lagi, dianggap satu pemandangan biasa.

Kegagalan membeli tiket lebih awal akan menyebabkan menggigit jari tidak dapat beraya di kampung.

Selain bas sedia ada, syarikat pemilik bas juga menyediakan bas-bas tambahan bagi menampung permintaan orang ramai.

Selain bas ekspress, keretapi juga menjadi salah satu pilihan popular pada masa itu.

Antara perkhidmatan paling nostalgia tentunya keretapi mel atau juga dikenali sebagai keretapi lokal kerana harga tambangnya yang agak murah.

Keretapi mel ini akan berhenti di semua stesen yang dilaluinya tidak kira sama ada stesen besar hinggalah ke sekecil-kecil stesen.

Berdasarkan pengalaman penulis, pada sekitar 1989 masih terdapat stesen yang lebih menyerupai pondok kecil agak daif dijadikan sebagai stesen keretapi di pekan kecil.

Manakala, sistem tempat duduknya pula, berdasarkan siapa cepat dia dapat sekali gus menyebabkan keretapi mel di musim perayaan menjadi sangat padat dengan penumpang sehingga memenuhi setiap ruang yang ada termasuk dalam tandas dan tangga keretapi.

Suasana balik kampung sekarang

Namun, susana balik kampung sempena hari raya aidilfitri hari ini semakin jauh berbeza.

Walaupun di era serba moden hari ini terdapat pelbagai kemudahan semakin canggih tetapi memberi cabaran yang berbeza berbanding dahulu.

Kalau dahulu perkhidmatan bas ekspress untuk balik kampung berhari raya laris bagaikan goreng pisang panas tetapi hari ini semakin berkurangan.

Orang ramai juga tidak lagi perlu bersusah payah beratur panjang di kaunter tiket berikutan adanya kemudahan tempahan tiket secara atas talian.

Semakan SelangorKini di aplikasi tempahan tiket bas ekspress, Redbus.my, tiket bas ekspress ke kebanyakan destinasi masih boleh diperolehi termasuk pada 4 Jun yang dijangka hari terakhir umat Islam berpuasa.

Semakan di aplikasi redbus.my sehingga jam 9.00 (2 Jun), sebanyak 294 tempat duduk masih boleh ditempah bagi perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan ke Alor Star dengan membabitkan 24 buah bas ekspress pada tarikh sama sedangkan dahulu, jangan harap masih boleh dapat tiket.

Sementara itu, 1,896 tempat duduk ke Johor Bahru dan 31 lagi ke Kota Bahru juga masih belum ditempah.

Antara faktor utama orang ramai semakin kurang menggunakan bas ekspress disebabkan meningkatnya kemampuan masyarakat memiliki kenderaan sendiri sama ada motorsikal atau kereta.

Menurut data dikeluarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), setakat 30 Jun 2017 sahaja, sebanyak 28,181,203 unit kenderaan didaftarkan di mana 0.88 kenderaan bagi setiap individu ketika itu.

Jumlah ini terus meningkat dengan pantas saban tahun di mana MAA mengunjurkan jualan kenderaan penumpang sebanyak 534,000 unit dan kenderaan komersial sebanyak 66,000 unit bagi tahun 2019.

Keadaan ini menyumbang kepada kesesakkan teruk di kebanyakkan lebuh raya semasa musim perayaan.

Beberapa media baru-baru ini melaporkan Kedah dan Kelantan masing-masing akan menerima kemasukkan sejuta kenderaan sempena cuti raya nanti.

Maka tidaklah menghairankan apabila kita mendengar cerita pengguna jalan raya menghabiskan masa lebih 12 jam di dalam kenderaan untuk pulang beraya di Kelantan.

Selain, menggunakan kenderaan persendirian, pulang berhari raya dengan pesawat komersial seperti Air Asia misalnya juga bertambah.

Malah, lebih hebat lagi, apabila beberapa media baru-baru ini melaporkan penggunaan helikopter sewa untuk pulang beraya juga bertambah terutama yang pulang ke Kelantan.

Demikianlah antara beberapa perbezaan pulang beraya di kampung dahulu dan sekarang.

Walaupun negara semakin membangun dengan kemampuan rakyatnya juga bertambah berlipat kali ganda, namun tradisi pulang beraya di kampung masih lagi diteruskan.

Niatnya juga masih sama, ingin menyambut lebaran dan bermaafan dengan ibu bapa dan keluarga tercinta.

 

 


Pengarang :