SUKANKINI

BAM bincang kumpulan yang sesuai untuk dilatih Hendrawan

KUALA LUMPUR, 28 Jun : Satu mesyuarat dalaman akan diadakan minggu depan bagi menentukan pemain perseorangan lelaki negara yang bakal mendapat sentuhan Hendrawan selepas legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei menggantung raket baru-baru ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Ng Chin Chai berkata jurulatih kelahiran Indonesia itu masih mempunyai kontrak bersama badan induk itu sehingga 2020 dan kini meneruskan tugas membantu bahagian perseorangan lelaki.

“Kita akan bermesyuarat dan bincang kumpulan mana yang sesuai untuk dilatih Hendrawan. Ketika ini beliau masih memainkan peranan membantu dalam perseorangan lelaki.

“Kita terbuka mengenai perkara ini. Kita akan dengar setiap pandangan ahli majlis (BAM) apabila perkara ini dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) minggu depan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.

Persoalan mengenai status Hendrawan bersama kem kebangsaan timbul selepas Chong Wei mengumumkan persaraan daripada arena badminton pada 13 Jun lepas.

Sebelum ini, ada laporan menyatakan Hendrawan pernah menerima tawaran daripada Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) bagi memperkasa skuad badminton negara asalnya itu.

Hendrawan yang kontrak beliau akan tamat pada Disember 2020, juga mengakui sehingga kini masih belum membuat sebarang keputusan berhubung masa depannya. -BERNAMA


Pengarang :