NASIONAL

‘Bau durian pun tak dapat di Penjara Sungai Buloh’ – Anwar

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LANGAT, 22 JUN: Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim terharu apabila sahabatnya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah memghidangkan durian ketika jamuan Aidilfitri di sini, hari ini.

Anwar berkata, raja buah itu antara yang disukai dan dirinduinya kerana tidak dapat menikmatinya sepanjang berada dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh.

“Bukan saja tak dapat makan, bau durian pun saya tidak pernah hidu ketika berada di penjara.

“Sekarang saya bertuah kerana awal-awal lagi sahabat saya sudah jamukan durian walaupun baharu sampai ke Tanjung Sepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Silaturrahim Aidilfitri anjuran Dewan Undangan Negeri Tanjung Sepat, di sini.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Dr Daroyah Alwi; EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail; EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian dan ADN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Anwar yang juga Presiden KEADILAN turut menghiburkan orang ramai apabila menyanyikan lagu evergreen Seniman Agong, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Azizah.

Beliau berkata, Malaysia sepatutnya berbangga apabila masyarakat berlainan bangsa saling menghormati di antara satu sama lain.

“Hari ini kita lihat majlis jamuan sebegini turut dihadiri orang bukan Islam, berbanding dengan negara luar mereka seringkali bertelingkah dan ada sahaja isu ditimbulkan.

“Tetapi di negara ini kita pelbagai kaum saling menghormati dan tiada masalah meraikan majlis sebegini bersama-sama,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :