NASIONAL

Bawa lebih muatan, dua bot penumpang ditahan

SEREMBAN, 30 JUN: Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan menahan dua bot penumpang atas pelbagai kesalahan, di kedudukan 0.1 dan 0.7 batu nautika barat Pantai Telok Kemang, Port Dickson kira-kira 4 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Amran Daud berkata penahanan dua bot penumpang terbabit dilakukan anggota Maritim Malaysia yang membuat rondaan di sekitar perairan Negeri Sembilan dalam satu rutin operasi harian.

“Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas kedua-dua bot mendapati, sebuah bot telah menjalankan operasi dengan lesen yang tamat tempoh manakala sebuah lagi bot membawa penumpang lebih muatan. Kedua-dua tekong serta dua bot ditahan dan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, sepanjang tahun 2019 Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan telah membuat lima tangkapan ke atas bot penumpang atas pelbagai kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Justeru beliau menasihatkan pengusaha-pengusaha bot penumpang tidak mementingkan keuntungan semata-mata dengan mengabaikan aspek keselamatan ketika membawa pelancong bagi mengelakkan sebarang kecelakaan berlaku.

Beliau menegaskan pihaknya sedang meningkatkan operasi penguatkuasaan seumpama ini bagi memastikan keselamatan orang awam diutamakan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan, dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat jenayah dan kecemasan di laut di talian Pusat Operasi Maritim 06-3876730 dan 999 yang beroperasi secara 24 jam.

—BERNAMA


Pengarang :