SELANGOR

Bekalan air Petaling dijangka pulih 6 pagi esok

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 28 JUN: Gangguan bekalan air yang melanda 66 kawasan di Petaling sudah mencapai tahap 95 peratus pemulihan dan dijangka pulih sepenuhnya mulai jam 6 pagi esok.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, di Sepang, Kuala Langat dan Hulu Langat dijangka pulih sepenuhnya jam 6 petang ini.

“Bagi kawasan Kuala Langat gangguan bekalan pulih hampir 95 peratus membabitkan 83 kawasan dan dijangka akan pulih sepenuhnya 8 malam ini.

“Kawasan Hulu Langat pula sudah mencapai tahap 94 peratus pemulihan bekalan membabitkan 223 kawasan dan akan pulih sepenuhnya jam 6 petang ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, segala usaha diambil termasuk meningkatkan tekanan dan aliran di sistem agihan bagi mempercepatkan proses pemulihan keseluruhan kawasan terjejas.

“Bantuan lori tangki air tetap terus bergerak dan pusat khidmat setempat masih beroperasi bagi menyalurkan bantuan sehingga bekalan pulih sepenuhnya.

“Pengguna diminta merujuk ke laman sesawang www.syabas.com.my, aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook dan Twitter Air Selangor untuk maklumat dan status terkini yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, gangguan bekalan air itu terjadi susulan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih dan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang berlaku sejak Rabu lalu.


Pengarang :