KOTA KINABALU, 16 Jun — Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi oleh Presiden Parti Keadilan Sabah Datuk Christina Liew memotong kek bersama anggota kabinet negeri Sabah sempena Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parti PKR Sabah hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Belas kasihan perlu untuk kukuh kekuatan kerajaan

KOTA KINABALU, 16 JUN: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kekuatan sesebuah kerajaan tidak akan tergugat jika ia mempunyai belas kasihan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, belas kasihan adalah untuk semua manusia tanpa mengira warna kulit dan keyakinan agama bagi memastikan hidup mereka yang susah terbela.

“Kalau fahaman ini ada dalam kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) saya yakin ‘tidak ada kuasa yang boleh menggoncang kerajaan yang kuat ini’ di bawah PAKATAN baik di Sabah mahupun Malaysia tetapi syaratnya ialah melaksanakan apa yang kita ucapkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KEADILAN Sabah, di sini hari ini.

Anwar berkata KEADILAN sentiasa memberi komitmen agar kerajaan di bawah PAKATAN bertambah kuat serta menjadi contoh yang terbaik dan ia tidak akan dapat dicapai hanya dengan satu parti.

“Oleh sebab itulah kita harus pastikan kerjasama antara parti dalam PAKATAN serta Warisan cukup kuat dan hormat hak dan giliran yang memimpin kita,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah, Datuk Christina Liew berkata, kerjasama dan keharmonian merupakan teras penting dalam pembangunan negara dan masyarakat terutamanya di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata kerajaan negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menitikberatkan keharmonian kerana ia merupakan kekuatan dan teras sebenar negeri Sabah yang boleh dipelajari oleh lain-lain negeri di negara ini.

“Dalam konteks perayaan, kita dapat lihat semua bangsa bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri, begitu juga sambutan Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas,” katanya.

Turut hadir Naib Presiden KEADILAN, Dr Xavier Jayakumar; Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta beberapa pemimpin daripada Warisan, DAP dan UPKO.

-BERNAMA

 


Pengarang :