SUKANKINI

Belia pelapis julang nama negara dalam sukan

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

KLANG, 6 JUN: Pembabitan belia dalam sukan diharap dapat menyediakan barisan pelapis bagi memastikan kesinambungan untuk menjulang nama negara di persada antarabangsa.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Selangor, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, sukan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kehidupan khususnya belia serta membantu mereka mempelajari nilai positif kehidupan supaya terus maju dalam dunia yang berdaya saing.

“Menerusi pelbagai penganjuran program sukan, usaha itu diharapkan mampu memenangi hati golongan muda untuk sertai dan aktif supaya kita dapat mengenal pasti pemain yang berpotensi ke peringkat lebih tinggi.

“Kita sentiasa memberi galakan kepada para pemain khususnya pelapis muda supaya mengorak langkah dan sentiasa kekal cemerlang dalam bidang sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program ‘Streetball 3ON3 Challenge’ 2019, di Galeri Jualan Gravit8, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago merangkap Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN); Yang DiPertua Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamad Yasid Bidin dan Timbalan Pengarah Eksekutif Mitraland Group, Chuah Theong Yee.

Terdahulu, seramai 600 peserta menyertai Gravit8 Streetball 3 On 3 Challenge anjuran Mitraland Group dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Program julung kali diadakan itu bermula 9.30 pagi sehingga 5.30 petang dan sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu B12, B14, B16, B18 dan Kategori Terbuka Lelaki; 200 slot pasukan dengan setiap pasukan terdiri daripada tiga pemain.


Pengarang :