SELANGOR

Bengkel pintar tingkat tahap kecekapan SAE

OLEH SHEEDA FATHIL

SEPANG, 10 JUN: Pembukaan Bengkel Pintar Radom mampu meningkatkan tahap kecekapan di Sepang Aircraft Engineering (SAE) selain memberi perkhidmatan lebih bernilai kepada pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang Aircraft Engineering, Raymond Lim berkata, hal itu dapat dilihat melalui penggunaan teknologi pintar dan digitalisasi yang dilaksanakan bengkel pintar terbabit.

Katanya, ia juga sebahagian daripada usaha berterusan dilaksanakan Airbus di Malaysia yang berpotensi untuk mengubah sektor penyelenggaraan, pembaikan dan pemulihan (MRO).

“Kedua hangar ini boleh menempatkan lapan pesawat lorong tunggal pada satu-satu masa yang turut merangkumi ruang mengecat tertutup mesra alam berdedikasi pertama di Malaysia, iaitu mampu menangani kerja mengecat rumit seperti insignia serta dekorasi pesawat.

“Bengkel berteknologi canggih SAE juga menyediakan perkhidmatan pembaikan dan baik pulih kepada sebilangan besar pesawat serta komponen berkaitan merangkumi kabin, kokpit pesawat, bahagian struktur dan pemasangan kerusi penumpang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pelancaran Pembukaan Bengkel Pintar Radom di Sepang Aircraft Engineering, di sini, hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Bengkel pertama milik SAE yang dibuka di Malaysia itu berfungsi sebagai tempat membaik pulih radom pada muncung pesawat.

Bengkel itu turut merangkumi tiga bilik pemeriksaan, sebuah bilik mengempelas, dua ruang menyembur cat yang khusus, sebuah bilik bersih dan sebuah bilik pengeringan serta membaik pulih cat.


Pengarang :