NASIONAL

Beri kepercayaan kepada Latheefa – Shukri

 

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 8 JUN: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mahu semua pihak memberi kepercayaan dan sokongan Latheefa Koya menerajui SPRM.

Katanya, sebagai Ketua Pesuruhjaya yang baharu, Latheefa perlu diberi peluang untuk menjalankan tugas dan memimpin SPRM.

“Mereka tidak perlu ‘melalak, membawang atau membuang masa’ kerana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah membuat keputusan melantik Latheefa,” katanya dalam sidang media, di sini.

Mohd Shukri turut menasihatkan Latheefa supaya bekerjasama sepenuhnya dengan pegawai SPRM dan memimpin Latheefa.

“Bagi saya terdapat beberapa perkara yang perlu dibuat untuk menjadi ketua pengarah yang baru termasuklah dengan membuat kerja yang betul, perlu bebas, tidak menyebelahi mana-mana pihak serta jangan takut dengan tekanan dan jangan takut dibuang sekali pun,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Shukri berkata, sebagai peguam, Latheefa boleh membawa idea korporat untuk digabungkan bersama inisiatif kerajaan dalam SPRM.

Terdahulu, Latheefa dilantik mengetuai SPRM berkuat kuasa 1 Jun lalu menggantikan Mohd Shukri yang memendekkan tempoh kontrak perkhidmatannya.

Pelantikan Latheefa yang juga bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak kerana didakwa tidak menepati manifesto Pakatan Harapan yang melarang pelantikan dalam kalangan ahli politik.


Pengarang :