GLOBAL

BERSIH 2.0 & SUARAM gesa penarikan undang-undang Ekstradisi Hong Kong

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 JUN: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mengutuk keganasan polis dan menggesa penarikan Rang Undang-Undang Ekstradisi di Hong Kong.

BERSIH 2.0 dan SUARAM dalam kenyataan bersamanya berkata, menerusi laporan media serta dokumentasi video, pihak polis dipercayai menggunakan semburan pemedih mata dan peluru getah sekali gus menyebabkan kecederaan kepada peserta protes termasuk wartawan.

Katanya, Ordinan Undang-Undang Hak Hong Kong dan Undang-Undang Asasi Hong Kong menjamin hak warga negara itu untuk berhimpun secara aman.

“Namun, apa yang dilakukan polis pada 12 Jun lalu bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang tetapi ia adalah satu penyalahgunaan kuasa yang ketara.

“Semasa pemerintahan kerajaan sebelum ini, ramai rakyat Malaysia mengalami perkara sama; dikasari pihak polis semasa perhimpunan BERSIH dan perhimpunan aman lain. Kami ingin menyatakan rasa simpati dan solidariti bersama jutaan warga Hong Kong yang tekad memperjuangkan hak mereka.

“Kami juga menyeru kerajaan Hong Kong untuk menghormati hak berhimpun secara aman dan mengekalkan ruang kebebasan dan demokratik di Hong Kong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, kenyataan itu turut menggesa kerajaan Hong Kong untuk memulakan siasatan bebas keatas pihak polis bagi mempertanggungjawabkan mereka terhadap keganasan yang mereka lakukan.

“Kami juga dengan tegas menggesa kerajaan Hong Kong untuk mendengar suara rakyat dan menarik semula pindaan undang-undang ekstradisi terbabit.

“Pindaan ini akan mengakibatkan ekstradisi orang yang dituduh dengan pertuduhan jenayah di tanah besar China, mereka berisiko untuk diseksa, dianiaya dan melalui perbicaraan yang tidak adil,” katanya.

Pada masa sama, BERSIH 2.0 dan SUARAM optimis Kerajaan Hong Kong harus mendukung kedaulatan undang-undang dan sebarang ekstradisi suspek jenayah mesti melalui penelitian hak asasi manusia seiring dengan piawaian antarabangsa.

 


Pengarang :