GERIK, 5 Jun — Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi (barisan tengah dua, kiri) bergambar kenangan selepas berhari raya bersama anggota Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan seluruh warga Markas 2 Briged yang bertugas di perbatasan di Kem Sri Banding hari ini. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Bertugas di perbatasan demi keselamatan negara

GERIK, 5 JUN: “Perasaan sedih itu ada juga timbul, lagi-lagi apabila kedengaran kesayuan takbir pada pagi Syawal yang mengingatkan tentang keluarga di kampung halaman.

Bagaimanapun perasaan itu dapat diredakan apabila kawan-kawan seperjuangan memberi semangat dan mengubati rasa kesedihan serta kerinduan di hati,”.

Itu luahan Kapten Hafiz Ismail, 30-an, dari Kor Perkhidmatan Diraja yang bertugas di Kem Sri Banding dekat sini yang berada di perbatasan negara ketika rakyat Malaysia yang lain terutama umat Islam bergembira bersama keluarga menyambut lebaran yang tiba.

Mengakui beraya di kawasan operasi ketika Hari Raya memberi cabaran kepada dirinya, Hafiz berkata ini bukanlah pertama kali beliau menyambut Syawal di kawasan operasi dan setiap kali Aidilfitri, warga ATM juga tidak ketinggalan membuat juadah Hari Raya.

“Para anggota mengadakan aktiviti gotong-royong seperti mengacau dodol, membakar lemang dan memasak rendang tok dan ayam bagi juadah Hari Raya untuk kira-kira 300 anggota di kem ini.

“Aktiviti bersama dalam penyediaan juadah Hari Raya ini dapat mengeratkan lagi hubungan para anggota terutamanya pada musim perayaan di mana kami berjauhan dari keluarga,” katanya kepada Bernama.

GERIK, 5 Jun — Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi (lima, kiri) bersama anggota Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan seluruh warga Markas 2 Briged yang bertugas di perbatasan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Kem Sri Banding hari ini.
Solat sunat itu diimamkan oleh Pegawai Agama Markas 2 Briged Lt Kol (Ust) Titan Abdul Wahab.
— fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagi Staff Sarjan Azlina Hakiman, 30-an, dari 2 Kompeni Polis Tentera Diraja yang bertugas di kem yang sama, sambutan Hari Raya tahun ini adalah pengalaman pertamanya beraya di kawasan operasi dan berjauhan dari keluarga di Johor.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, beliau sering menolong ibu bapanya dalam setiap persiapan Hari Raya Aidilfitri jika berada di Johor.

“Saya amat merindui masakan rendang ayam ibu saya setiap pagi Syawal. Rasa sedih itu tidak dapat dinafikan kerana tidak dapat beraya bersama keluarga untuk melihat wajah ibu bapa saya, serta mencium tangan mereka di hari yang amat bermakna ini,” katanya.

Bagaimanapun bertugas di kawasan operasi adalah pengalaman penting Azlina sepanjang 18 tahun berkhidmat dalam ATM.

Sambutan anggota tentera di kem itu diceriakan dengan kehadiran Panglima Tentera Darat, Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi yang turut beraya bersama mereka.

Semalam, Ahmad Hasbullah melawat dua kawasan operasi di sekitar Gerik iatu Pos Pengkalan Hadapan November yang menempatkan 29 anggota dan Pos Pengkalan Hadapan Kenarong melibatkan 25 anggota dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD).

Ahmad Hasbulah berkata lawatan beliau ke tempat anggotanya menjalankan operasi bertujuan untuk meninjau tahap kesiagaan anggota di samping bersama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri di perbatasan bagi menyuntik semangat kepada mereka yang melaksanakan tugas apabila berjauhan dari keluarga.

– BERNAMA

 


Pengarang :