PUTRAJAYA, 14 Jun — Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menyatakan pelaksanaan JPJeBid ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk bidaan bagi siri VDN ketika sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan hari ini. Bidaan akan dibuka selama lima hari bermula pada 12 tengah malam, 21 Jun hingga 11.59 malam, 25 Jun dan keputusan akan diumumkan pada 12 tengahari, 26 Jun. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Bidaan siri ‘VDN’ bermula 21 Jun

PUTRAJAYA, 14 Jun : Sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian JPJeBid akan dilaksanakan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi siri ‘VDN’.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata bidaan itu akan dibuka selama lima hari dari 12 tengah malam 21 Jun hingga 11.59 malam 25 Jun manakala keputusannya diumumkan pada 12 tengah hari 26 Jun.

Beliau berkata harga minimum yang ditetapkan bagi kategori nombor bernilai utama ialah RM20,000 dengan kenaikan minimum setiap bidaan ialah RM1,000 atau pada kadar lima peratus, manakala harga minimum bagi nombor menarik ditetapkan pada RM3,000 dengan kenaikan minimum RM150.

“Bagi nombor popular, harga minimum yang ditetapkan ialah RM800 dengan kenaikan minimum RM40 manakala harga bagi nombor biasa ialah RM300 dengan kenaikan minimum RM15,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Loke berkata pembayaran bidaan JPJeBid hanya menggunakan kad kredit tempatan atau kad debit tempatan sahaja.

“Tidak ada sekatan untuk melakukan bidaan. Bagaimanapun setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimum tiga nombor kenderaan. Bagi perniagaan atau syarikat tidak melebihi lima nombor kenderaaan sahaja,” katanya.

Pendaftaran boleh dilakukan di portal https://.jpjebid.gov.my atau melalui aplikasi mudah alih JPJeBid, yang terbuka untuk warganegara Malaysia dan penduduk tetap berumur 18 tahun ke atas serta perniagaan /syarikat yang berdaftar.

Menurut Loke, orang awam atau syarikat yang tidak pernah mempunyai rekod dalam sistem Mysikap seperti rekod kenderaan, lesen atau saman dikehendaki membuat pendaftaran terlebih dulu di mana-mana pejabat JPJ Negeri dan cawangan JPJ kecuali di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Loke berkata sebelum ini, pendaftaran kenderaan dengan siri ‘FC’ di Wilayah Persekutuan Putrajaya yang menjadi perintis sistem bidaan nombor pendaftaran dalam talian menerima bidaan sebanyak 2,481 yang berjumlah RM3.1 juta sepanjang lima hari tempoh bidaan bermula 15 April 2019.

Bidaan tertinggi bagi siri FC ialah nombor pendaftaran FC1 yang berharga RM231,000, katanya.

Loke berkata sistem JPJeBid diperluaskan di Kuala Lumpur kerana ia menyumbang kepada peningkatan hasil kerajaan selain daripada Kuala Lumpur mencatatkan jumlah nombor siri pendaftaran kenderaan paling tinggi dengan kadar purata dua minggu bagi setiap siri.

“Selepas ini, sistem JPJeBid akan dilaksanakan di negeri lain secara berfasa,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :