NASIONAL

Bomba pertimbang guna bahan kimia kawal kebakaran bangunan

 

KUALA LUMPUR, 2 Jun : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang mempertimbangkan penggunaan bahan kimia agen pembasahan baharu yang diadun dengan air bagi memadamkan kebakaran struktur bangunan.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata pihaknya kini sedang meneliti penggunaan bahan kimia bagi agen pembasahan yang lebih efektif dan sesuai untuk digunakan, selain memperkuatkan keupayaan air bagi tujuan memadam kebakaran.

Beliau berkata ia merupakan satu teknologi baharu iaitu air itu akan ditambah dengan bahan campuran atau kimia bagi memperkuatkan air yang digunakan untuk tujuan pemadaman kebakaran.

“Misalnya, satu gelen air yang tidak dicampur dengan bahan kimia kekuatannya adalah berbeza dengan air yang dicampur dengan bahan tertentu itu.

“Ia mempunyai nisbah campuran tertentu untuk diadun dengan air, tetapi teknologi ini mahal. Sebelum ini kami pernah memadamkan kebakaran dengan menggunakan buih untuk mempercepatkan proses pemadaman kebakaran,” katanya ketika ditemui Bernama.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata pihaknya merekodkan kerugian lebih RM3.3 bilion melibatkan kebakaran struktur bangunan dan rumah sepanjang tahun 2018.

Beliau berkata jumlah itu, membabitkan 6,626 premis bangunan dan rumah kediaman dan pihaknya menyasarkan penurunan kadar kerugian dengan cara mempertingkatkan kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat setempat secara lebih agresif.

Mohammad Hamdan berkata pihaknya kini akan lebih memberi tumpuan kepada ‘offensive firefighting’ dalam usaha memadamkan kebakaran.

“Cara pemadaman kebakaran itu penting dan itu sebabnya kami menjurus kepada offensive firefighting dengan cara terus memasuki bangunan untuk mencari punca kebakaran. Jika dibandingkan di Amerika Syarikat mereka mempraktikkan cara itu dengan kelengkapan perlindungan diri (PPE) lebih ke hadapan.

“Kita ini terlalu berhati-hati dengan pendekatan ‘defensive firefighting’, namun jika kita praktikkan sedemikian (offensive firefighting) kita mampu mengurangkan kadar kerosakan kebakaran itu,“ katanya. -BERNAMA

 

Foto Kredit Facebook Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia


Pengarang :