EKONOMI

Bon Panda antara agenda pada lawatan ke China

PUTRAJAYA, 27 Jun : Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata penerbitan bon Panda akan menjadi antara isu yang akan dibincangkan semasa lawatannya ke China pada akhir bulan ini sejak memegang jawatan kanan kerajaan itu.

“Saya akan ke China. Saya akan buat pengumuman apabila perbincangan itu dimuktamadkan,” katanya kepada wartawan apabila ditanya sama ada bon Panda akan dibangkitkan semasa lawatannya ke republik itu.

Lim ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Perundingan Belanjawan 2020, di sini, hari ini.

Pada Februari tahun ini, Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian dilaporkan berkata China Construction Bank telah mencadangkan untuk menerbitkan bon Panda di China kepada Malaysia untuk membantu mengurangkan tekanan kewangan kerajaan.

Lim dilaporkan berkata Malaysia berharap untuk meningkatkan lagi perdagangan dua hala dengan China untuk manfaat kedua-dua negara.

Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-45 jalinan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan China mencatatkan jumlah tertinggi pada 2018, meningkat 13 peratus kepada RM443 bilion daripada RM392 bilion pada 2017. -BERNAMA


Pengarang :