NASIONAL

BSN buka 350,000 akaun baharu bagi penerima BSH

KUALA LUMPUR, 4 Jun : Bank Simpanan Nasional (BSN) membuka hampir 350,000 akaun bank baharu secara automatik mulai Isnin, (3 Jun 2019) bagi menyalurkan Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 kepada penerima.

Langkah ini diambil setelah Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa daripada 3.6 juta isi rumah yang diluluskan BSH 2019, bayaran bagi sejumlah 300,000 penerima tidak dapat dikreditkan ke dalam akaun bank.

“Akaun baharu ini dibuka atas nama isteri pemohon BSH. Punca utama bayaran gagal dikreditkan disebabkan nombor akaun bank yang didaftarkan tidak tepat.

“Ini berlaku antara lain disebabkan pemohon mengisi nombor akaun bank suami dalam ruang untuk diisikan nombor akaun bank isteri,” kata Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini.

Justeru, penerima kini boleh hadir ke cawangan BSN bagi urusan pengaktifan akaun dan seterusnya membuat pengeluaran tunai daripada akaun masing-masing mulai 4 Jun, 2019. -BERNAMA


Pengarang :