EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia atasi kerugian awal untuk ditutup tinggi

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Bursa Malaysia mengatasi kerugian awal dalam urus niaga pada lewat petang untuk ditutup tinggi hari ini, dipacu minat belian terhadap kaunter berkaitan indeks terpilih ditengah-tengah perkembangan luaran yang lemah, kata seorang peniaga.

Pada 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 4.55 mata lebih tinggi pada 1,655.31 daripada 1,650.76 semasa ditutup pada Jumaat.

Indeks dibuka 0.83 mata lebih rendah pada 1,649.93 dan bergerak ke kedudukan kurang memberangsangkan hampir sepanjang urus niaga hari ini, mencecah paras terendah 1,642.66, disebabkan sentimen pasaran yang lemah susulan tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump membuat ugutan perdagangan terhadap Mexico dan India, ditambah dengan data ekonomi China yang lemah.

Bagaimanapun, beberapa saham mewah mendapat rangsangan kira-kira 30 minit sebelum urus niaga ditutup dan telah membantu meningkatkan indeks komposit ke kedudukan positif, mencecah paras tertinggi 1,656.68.

Ketua ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata disebalik suasana luaran yang suram, Bursa Malaysia disokong oleh belian daripada pelabur institusi tempatan.

“Tenaga dan Petronas Chemicals merupakan faktor utama yang mendorong ia melantun semula, bersama-sama dengan Genting dan IHH Healthcare.

“Terdapat nilai dalam saham berkenaan dan penyusutan harga dengan ketara baru-baru ini menyediakan mata kemasukan yang betul berikutan tempoh jangka panjang bagi saham-saham masih kukuh,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam juga berkata terdapat kemungkinan berlaku aktiviti belian semasa harga rendah daripada pelabur asing, yang merupakan pembeli bersih pada Khamis dan Jumaat minggu lepas.

Kedudukan secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu sebanyak 577 berbanding 266, manakala 355 kaunter tidak berubah, 684 tidak diniagakan dan 26 lagi digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 1.60 bilion unit bernilai RM1.55 bilion berbanding 2.22 bilion unit bernilai RM2.56 bilion dicatatkan pada Jumaat lepas.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga naik 16 sen kepada RM12.86, manakala Petronas Chemicals, CIMB dan IHH Healthcare masing-masing menokok dua sen kepada RM8.34, RM5.29 dan RM5.52.

Bagaimanapun, Maybank susut tiga sen kepada RM8.99 manakala Public Bank turun enam sen kepada RM23.54.

Bagi saham yang didagangkan secara aktif, Hibiscus Petroleum susut lima sen kepada 99 sen manakala Ekovest, Sapura Energy dan Lambo masing-masing susut setengah sen kepada 76.5 sen, 29 sen dan 5.5 sen.

Bumi Armada tidak berubah pada 20 sen.

Bursa Malaysia meneruskan penggantungan dagangan ke atas China Stationery Limited sehingga notis selanjutnya kerana syarikat itu gagal menyerahkan laporan suku tahunannya bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac, 2019.

Indeks FBM Emas naik 3.06 mata kepada 11,591.43 dan FBMT 100 meningkat 7.6 mata kepada 11,458.1.

Indeks FBM Emas Shariah susut 5.53 mata kepada 11,790.23, FBM 70 turun 87.97 mata kepada 14,152.62, dan Indeks FBM Ace berkurangan 78.94 mata kepada 4,220.48.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 18.54 mata kepada 16,829.49, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.42 mata kepada 159.63 tetapi Indeks Perladangan naik 10.3 mata kepada 6,933.16.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 937.37 juta saham bernilai RM1.42 bilion daripada 1.39 bilion saham bernilai RM2.37 bilion yang dicatatkan pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 397.61 juta unit bernilai RM99.19 juta daripada 607.25 juta unit bernilai RM154 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 259.0 juta saham bernilai RM30.67 juta daripada 231.87 juta saham bernilai RM37.81 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 150.96 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (115.26 juta), pembinaan (106.08 juta), teknologi (66.74 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (50.24 juta), hartanah (91.12 juta), perladangan (12.36 juta), REIT (9.83 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (242.01 juta), penjagaan kesihatan (19.94 juta), telekomunikasi dan media (38.08 juta), pengangkutan dan logistik (19.12 juta) dan utiliti (15.62 juta).

Bursa Malaysia akan dibuka hanya untuk sesi pagi esok bersempena perayaan Aidilfitri. – BERNAMA


Pengarang :