Selangorkini
NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Saham di Bursa Malaysia bercampur-campur semasa awal dagangan hari ini susulan kekurangan asas pergerakan.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.52 mata kepada 1,674.61, gagal mengekalkan peningkatan sederhana yang dicatatkan dalam beberapa saat setelah dibuka 0.31 mata lebih rendah kepada 1,675.82.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 112 berbanding 104 manakala 189 kaunter tidak berubah, 1,512 kaunter tidak diniagakan dan 42 yang digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 125.60 juta saham bernilai RM49.63 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata aktiviti pengambilan untung dijangka berterusan berikutan kebimbangan geopolitik baharu dan peningkatan mendadak baru-baru ini yang menyebabkan saham mencecah paras terlebih beli.

“Peserta pasaran dijangka cenderung mengekalkan pegangan mereka menjelang Sidang Kemuncak G20 hujung minggu ini bagi menunggu sebarang perkembangan dalam rundingan perdagangan Amrika Syarikat-China.

“Di peringkat tempatan, terdapat beberapa petunjuk penting untuk diteliti peserta pasaran dan ini akan menjadikan kenaikan baru-baru ini tidak memberi kelebihan selain memberi unjuran berhati-hati bagi jangka pendek,” menurut nota penyelidikan itu.

Sementara itu, Maybank IB Research berkata keyakinan yang semakin bertambah bagi pembaharuan rundingan perdagangan AS-China yang mencetuskan pertikaian dijangka kian meningkat menjelang Sidang Kemuncak G20 di Tokyo, dengan Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping dijangka bertemu.

Secara teknikalnya, ia menjangkakan FBMKLCI bergerak antara 1,660 dan 1,680 hari ini dengan sokongan penurunan pada 1,636 dan 1,615.

“Memandangkan gabungan momentum saham berkaitan indeks FBM KLCI dan menjadi faktor penentu semasa, kami menjangkakan indeks itu dapat mencetuskan peluang belian sederhana berasaskan kemunculan tekanan jualan dalam 200 hari jalur Purata Pergerakan Eksponen (EMA)

“Kami menjangkakan Indeks FBM KLCI didagangkan lebih rendah minggu ini, walaupun risiko penurunan adalah rendah buat masa ini,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM8.95, Public Bank naik empat sen kepada RM23.06, Tenaga menambah dua sen kepada RM13.82 dan Petronas Chemicals turun empat sen kepada RM8.46.

Bagi saham yang didagangkan secara aktif, Berjaya Land naik setengah sen kepada 19.5 sen manakala kedua-dua Bumi Armada dan Sumatec msing-masing kekal tidak berubah pada 21 sen dan satu sen.

Indeks FBM Emas kurang 6.03 mata kepada 11,786.91, Indeks FBMT 100 turun 6.58 mata kepada 11,640.53 tetapi Indeks FBM Emas Syariah meningkat 2.48 mata kepada 12,128.52.

FBM 70 naik 8.06 mata kepada 14,576.90 sementara FBM Ace menambah 5.48 mata kepada 4,370.98.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 19.91 mata kepada 16,741.05, dan Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri turun 0.09 mata kepada 161.35 dan Indeks Perladangan kurang 4.19 mata kepada 6,947.95.

-BERNAMA


Pengarang :