EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini

KUALA LUMPUR, 4 Jun : Bursa Malaysia rendah semasa awal dagangan hari ini, berbeza daripada kenaikan semalam, berikutan sentimen lemah yang disebabkan kebimbangan mengenai pertumbuhan perdagangan global selain krisis antara dua kuasa ekonomi dunia, Amerika Syarikat dan China, yang terus memuncak.

Pada 9.40 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.08 mata kepada 1,652.23 daripada 1,655.31 ketika ditutup semalam.

Indeks barometer itu dibuka 1.29 mata lebih rendah kepada 1,654.02.

Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 206 berbanding 166, manakala 232 kaunter tidak berubah, 1,278 kaunter tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 286.24 juta unit bernilai RM178.66 juta.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM9.01 dan CIMB menambah empat sen kepada RM5.33.

Public Bank dan Tenaga masing-masing turun lapan sen kepada RM23.46 dan RM12.78 manakala Petronas Chemicals kurang lima sen kepada RM8.29.

Bagi saham aktif, Lambo naik setengah sen kepada enam sen, Dolomite meningkat 15.5 sen kepada 23.5 sen, sementara Impiana Hotels susut setengah sen kepada 3.5 sen dan Sapura Energy tidak berubah pada 29 sen.

Indeks FBM Emas turun 13.68 mata kepada 11,577.74, Indeks FBMT 100 kurang 13.68 mata kepada 11,577.74 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 23.36 mata kepada 11,766.87, manakala FBM 70 menguncup 1.27 mata kepada 14,151.35.

Dalam pada itu, FBM Ace menambah 36.48 mata kepada 4,256.96.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 15.94 mata kepada 16,845.44 dan Indeks Perladangan menambah 8.2 mata kepada 6,941.36, namun Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri turun 0.26 mata kepada 159.37. -BERNAMA


Pengarang :