NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tidak berubah

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Bursa Malaysia dibuka tidak berubah pagi ini dengan sentimen berhati-hati menjelang mesyuarat dasar Rizab Persekutuan AS selama dua hari.

Pada 9.02 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) utama susut 1.87 mata kepada 1,636.53 daripada 1,638.40 pada 5 petang pada Jumaat.

Indeks barometer dibuka rendah 1.74 mata kepada 1,636.66.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 64 berbanding 50, dengan 163 kaunter tidak berubah, 1,591 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 110.39 juta bernilai RM30.05 juta.

Pada Isnin, FBM KLCI ditutup rendah, walaupun peningkatan yang kukuh dicatatkan oleh Tenaga Nasional.

Semua saham berharga rendah mengikut langkah sama, diterajui oleh FBM ACE yang merosot – 0.9 peratus, indeks FBM Small Cap (-0.8 peratus) dan FBM Fledgling (-0.5 peratus), manakala majoriti saham pasaran lebih luas susut.

Satu-satunya kaunter untung ialah REITs dan subsektor utiliti, menurut Malacca Securities Sdn Bhd.

“Bagi dagangan hari ini di Bursa Malaysia, ia kelihatan tanpa arah berikutan peserta pasaran menunggu petunjuk baharu untuk memasuki semula pasaran.

“Memandangkan minat pasaran terus berkurangan dengan kebanyakan peserta kekal tidak memasuki pasaran yang telah menyaksikan jumlah dagangan di bawah paras dua bilion saham akhir-akhir ini, menunjukkan keadaan pasaran semakin kurang menggalakkan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.96, Public Bank merosot enam sen kepada RM22.96 manakala Tenaga dan Petronas Chemicals, masing-masing susut dua sen kepada RM12.72 dan 8.30.

Pengeluar tiang keluli, Mestron Holdings Bhd mula disenaraikan di Pasaran Ace Bursa Malaysia hari ini dengan premium empat sen, daripada tawaran awam permulaannya sebanyak 16 sen sesaham dengan 82.26 juta unit diniagakan.

Daripada saham yang diniagakan secara aktif, Greatech naik setengah sen kepada 90.5 sen, Compugates dan MQ Technologies, masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen dan 2.5 sen.

Indeks FBM Emas turun 7.73 mata kepada 11,530.95, Indeks FBMT 100 merosot 8.04 mata kepada 11,382.24 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 8.43 mata kepada 11,764.11.

FBM 70 naik 9.99 mata kepada 14,279.30 dan FBM Ace meningkat 11.82 mata kepada 4,361.56.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 14.22 mata kepada 16,640.29 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan jatuh 0.15 mata kepada 159.26, bagaimanapun Indeks Perladangan naik 5.28 mata kepada 6,865.39.

-BERNAMA


Pengarang :