NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi susulan peningkatan sentimen

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Bursa Malaysia melantun semula daripada penurunan pada Selasa untuk dibuka tinggi pagi ini apabila sentimen pasaran yang bertambah baik merangsang permintaan terhadap aset lebih berisiko.

Pada 9.07 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.9 mata kepada 1,648.99 daripada 1,644.56 pada 5 petang pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 6.84 mata kepada 1,650.93.

Pasaran ditutup pada Rabu dan Khamis sempena cuti Hari Raya Adilfitri.

Suasana pasaran positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 208 berbanding 73, dengan 146 kaunter tidak berubah, 1,463 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 127.92 juta bernilai RM86.43 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata keadaan pasaran dijangka bertambah baik dengan beberapa perkembangan luar yang mereda semasa cuti Hari Raya dan ini boleh menyediakan rangsangan jangka terdekat untuk pasaran pulih semula daripada penurunan pada Selasa.

Ketika ini, ancaman tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas Mexico telah mereda, manakala kesediaan Rizab Persekutuan AS untuk menggunakan dasar monetari bagi menampung sebarang kelembapan ekonomi negara itu akan memberi kelegaaan kepada ekuiti, walaupun ketegangan perdagangan antara AS dan China masih lagi belum menemui sebarang jalan penyelesaian, kata firma penyelidikan itu.

“Oleh itu, kami melihat saham Bursa Malaysia menjejaki kenaikan saham-saham di luar negara. Bagaimanapun, dengan FBM KLCI mencatatkan kenaikan dalam beberapa sesi lepas dan masih dalam keadaan terlebih belian, sebarang pemulihan dijangka sederhana.

“Paras ketahanan berada pada 1,656 manakala paras sokongan pada 1,640-1,642, diikuti oleh 1,639,” kata firma itu dalam satu nota penyelidikan.

Malacca Securities juga berkata selepas mencatatkan penurunan kebelakangan ini, saham berharga rendah menemui sokongan, dan ini akan menyediakan ruang bagi peningkatan kerana keadaan semakin bertambah baik.

“Namun, kami merasakan sebarang kenaikan akan diukur, kerana belian baharu masih kekurangan,” kata firma penyelidikan itu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi di Bursa, Maybank meningkat empat sen kepada RM9.01, Public Bank naik lapan sen kepada RM23.50, CIMB meningkat tiga sen kepada RM5.35 dan IHH Healthcare melonjak sembilan sen kepada RM5.52.

Bagaimanapun, Tenaga turun 16 sen kepada RM12.66 manakala Petronas Chemicals berkurangan tiga sen kepada RM8.25.

Dalam kalangan kaunter cergas diniagakan, Ekovest naik dua sen kepada 79.5 sen, Bumi Armada dan AirAsia X meningkat satu sen setiap satu masing-masing kepada 21 sen dan 24 sen manakala Tiger Synergy menokok setengah sen kepada 5.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 35.89 mata kepada 11,574.48, Indeks FBMT 100 menokok 36.72 mata kepada 11,439.43 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 22.57 mata kepada 11,747.87, FBM 70 naik 57.02 mata kepada 14,231.8 dan FBM Ace melonjak 29.09 mata kepada 4,261.08.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 57.1 mata kepada 16,873.67 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.20 mata kepada 159.13, tetapi Indeks Perladangan susut 8.63 mata kepada 6,846.52. – BERNAMA


Pengarang :