NASIONAL

Bursa Malaysia dijangka diniagakan kukuh minggu depan

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Bursa Malaysia dijangka diniagakan kukuh dengan kecenderungan meningkat minggu depan, berikutan jangkaan pulangan daripada minat untuk mengambil risiko yang disokong oleh faktor luaran dan tempatan.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Asia Pasifik Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak antara 1,640 dan 1,650.

“Pasaran ekuiti Malaysia dijangka kukuh minggu depan, berikutan jangkaan pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) dalam masa terdekat, dan susulan ketidaktentuan perdagangan yang menjadi kurang penting disebabkan kekurangan perkembangan yang konkrit mengenai rundingan perdagangan AS-China yang kini terhenti.

“Fed akan bermesyuarat pada 18-19 Jun dan pelabur ingin melihat pendirian dasar monetarinya dengan tumpuan beralih kepada jangkaan yang meningkat bagi bank pusat itu untuk mengurangkan kadar beberapa kali pada tahun ini selepas senarai gaji bukan ladang AS yang rendah pada Jumaat lepas,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya ketegangan meningkat di Timur Tengah selepas dua kapal tangki minyak rosak dalam serangan di Teluk Oman berhampiran Iran dan Selat Hormuz, yang menyaksikan harga minyak naik berikutan bimbang mengenai gangguan bekalan dan kemerosotan ekuiti Asia pada Jumaat, dijangka menjadi pemangkin sementara yang akan diimbangi oleh jangkaan mengenai pengurangan kadar AS.

“Harga minyak mentah yang meningkat akan menjadi rangsangan kepada Bursa Malaysia berikutan 30 peratus daripada saham di bursa itu berkaitan dengan komoditi,” katanya kepada Bernama.

Peningkatan ringgit baru-baru ini kepada 4.1650 pada Jumaat, yang menunjukkan ekonomi Malaysia bertambah baik, turut menyokong sentimen pasaran, kata Mohd Nazri.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI susut 10.70 mata kepada 1,638.63.

Indeks FBM Emas merosot 16.0 mata kepada 11,564.65, Indeks FBMT 100 berkurangan 27.91 mata kepada 11,412.51 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 2.20 mata kepada 11,788.24.

Indeks FBM Ace menambah 123.40 mata kepada 4,387.54 dan FBM 70 meningkat 153.71 mata kepada 14,381.03.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 97.39 mata kepada 16,731.47, Indeks Perladangan berkurangan 2.39 mata kepada 6,871.08 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.19 mata kepada 160.35.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 10.07 bilion unit bernilai RM9.07 bilion daripada 4.15 bilion unit bernilai RM4.08 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 6.32 bilion saham bernilai RM8.11 bilion daripada 2.77 bilion saham bernilai RM3.83 bilion.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 2.29 bilion unit bernilai RM500.22 juta daripada 798.82 juta unit bernilai RM173.33 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menambah kepada 1.45 bilion saham bernilai RM455.11 juta daripada 583.22 juta saham bernilai RM70.19 juta sebelum ini. – BERNAMA


Pengarang :