NASIONAL

Bursa Malaysia dijangka melantun semula minggu depan

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Bursa Malaysia dijangka mencatatkan lantunan semula minggu depan berikutan sentimen yang positif, kata Phillip Capital Management.

“Susulan pemulihan bulis saham tempatan daripada paras minimum 1,640, kami menjangka FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) stabil minggu depan selepas sidang kemuncak G20 di Osaka,’’ kata Naib Presiden Kanan (pelaburan) Asia Pasifiknya Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan.

Beliau percaya sentimen akan kekal kukuh sementara menunggu butiran terperinci dan perkembangan terkini dari Osaka.

“China dijangka memberi keutamaan kepada penarikan balik larangan Amerika Syarikat (AS) ke atas syarikat telekomunikasinya Huawei, yang memberi harapan positif kepada pasaran. Harapan tinggi untuk melihat penyelesaian positif berhubung perjanjian perdagangan ini (AS-China),’’ katanya kepada Bernama.

Nazri berkata paras ketahanan kukuh segera disasarkan pada 1,700 mata, manakala paras sokongan dilihat sekitar 1,658 mata.

“Pandangan kami itu disokong oleh perbezaan positif pelbagai bulan antara pergerakan indeks berbanding petunjuk Indeks Kekuatan Relatif 14-hari (RSI), yang membayangkan FBM KLCI sudah berada di paras paling rendahnya,” katanya.

Nazri berkata Malaysia, bersama-sama dengan negara jirannya seperti Singapura, Thailand dan Filipina menunjukkan daya tahannya dalam keadaan perang perdagangan yang berterusan antara Washington dan Beijing.

“Setakat ini, perang perdagangan hanya menjejaskan 0.1 peratus hingga 0.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tempatan,’’ katanya sambil menambah Malaysia dan negara-negara lain telah melonggarkan dasar fiskal mereka sejak setahun lalu dalam usaha untuk menangani permintaan lemah dalam perdagangan eksport.

Sementara itu, Affin Hwang Capital berkata setakat ini pada tahun ini penurunan di FBM KLCI telah mengecil daripada -5.46 peratus pada Mei kepada -0.83 peratus, disebabkan terutamanya jangkaan penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan AS dan kemungkinan penyelesaian ketegangan perdagangan global.

Firma penyelidikan itu berkata aliran keluar dana ekuiti yang besar pada awal tahun ini juga semakin berkurangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini manakala ringgit pulih sebanyak 1.19 peratus daripada paras terendahnya.

“Kami melihat tiga pemangkin bagi pasaran yang boleh membawa kejutan positif: penurunan lebih besar daripada dijangkakan kadar faedah AS membawa kepada aliran masuk kembali dana ke rantau ini; peningkatan aktiviti penggabungan dan pengambilalihan merangsang fokus pelabur, terutamanya dalam sektor-sektor yang terjejas; dan kejutan peningkatan KDNK susulan peningkatan perbelanjaan prasarana.

“Walaupun dari segi pendapatan dan penilaian korporat ini mungkin tidak menjamin dana kembali semula ke Malaysia, kami percaya penurunan harga saham sejak dua tahun lepas, pegangan asing yang rendah dan potensi idea tematik boleh mencetuskan minat berpilih,’’ kata firma itu.

Dari segi negatif pula, ia berkata, semakan pendapatan korporat tempatan kekal negatif, dan trend ini dijangka berterusan sekiranya ketegangan perdagangan terus berlarutan, mengehadkan FBM KLCI untuk diniagakan di atas paras pelbagai nisbah harga-berbanding-pendapatan semasanya pada 18 kali.

“Juga, FBM KLCI masih mempunyai dua halangan utama – penurunan seterusnya wajaran dengan pengimbangan semula MSCI yang akan datang dan risiko Malaysia dikeluarkan daripada Indeks Bon Dunia FTSE pada kajian semula September,” kata firma penyelidikan itu.

Keseluruhannya pada minggu yang baru berakhirnya ini, Bursa Malaysia diniagakan kebanyakannya rendah dalam keadaan pasaran terlebih belian selepas kenaikan pada minggu sebelumnya dan ketidakpastian terhadap perang perdagangan AS-China.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI turun 10.10 mata kepada 1,672.13 daripada 1,682.23 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas susut 67.93 mata kepada 11,781.58, Indeks FBMT 100 jatuh 72.36 mata kepada 11,631.65 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 77.48 mata kepada 12,132.94.

Indeks FBM Ace menokok 48.11 mata kepada 4,445.45 dan FBM 70 susut 99.39 mata kepada 14,599.71.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 59.95 mata kepada 16.686.61, Indeks Perladangan menguncup 50.64 mata kepada 6,968.90 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.40 mata kepada 160.72.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 9.47 bilion unit bernilai RM8.73 bilion daripada 10.56 bilion saham bernilai RM10.81 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut 6.05 bilion unit bernilai RM7.93 bilion daripada 6.14 bilion saham bernilai RM9.58 bilion.

Jumlah dagangan waran jatuh kepada 1.95 bilion unit bernilai RM442.2 juta daripada 2.11 bilion unit bernilai RM584.29 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 1.44 bilion unit bernilai RM332.69 juta daripada 1.84 bilion saham bernilai RM633.37 juta.

-BERNAMA


Pengarang :