EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Bursa Malaysia ditutup rendah, diheret turun oleh aktiviti pengambilan untung di kaunter saham wajaran tinggi meskipun bursa serantau mencatatkan prestasi yang baik, kata peniaga.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 4.27 mata lebih rendah pada 1,651.20 berbanding 1,655.47 pada 5 petang Isnin.

Indeks utama yang dibuka 0.33 mata lebih tinggi pada 1,655.80 pagi ini bergerak antara 1,649.81 dan 1,657.36 di sepanjang sesi.

Kedudukan pasaran bagaimanapun positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 455 berbanding 348, manakala 401 kaunter tidak berubah, 683 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.24 bilion unit bernilai RM2.03 bilion daripada 2.28 bilion unit bernilai RM1.79 bilion pada Isnin.

Seorang peniaga berkata Bursa Malaysia dibuka tinggi, namun turun selepas 10 minit diurus niaga, diheret turun oleh jualan saham Tenaga dan saham berkaitan kewangan.

Beliau berkata saham di Bursa Malaysia terlebih beli, menjejaskan potensi peningkatan dalam tempoh terdekat.

“Unjuran keseluruhan masih tidak mementu dengan perang tarif US-China yang belum selesai terus menjejaskan sentimen.

“Sentimen juga kekal rapuh dengan pelabur menunggu Sidang Kemuncak G-20 di Jepun sebagai petunjuk baharu dalam pertikaian perdagangan antara kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu yang telah menjejaskan aset risiko,” kata peniaga itu.

Sementara itu, saham Asia kebanyakannya lebih tinggi hari ini, diketuai saham China, yang melonjak susulan berita bahawa Beijing telah mengurangkan peraturan pembiayaan untuk meningkatkan perbelanjaan kerajaan tempatan untuk kerja-kerja awam, dan selepas Presiden AS Donald Trump membatalkan cadangannya untuk mengenakan tarif ke atas import Mexico dengan berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin China Xi Jinping.

Di bursa serantau, Indeks Straits Times Singapura menambah 0.58 peratus kepada 3,205.72, Nikkei Jepun meningkat 0.33 peratus kepada 21204.28, Hang Seng Hong Kong naik 0.76 peratus kepada 27,789.34, Kospi Korea Selatan menambah 0.59 peratus kepada 2,111.81 manakala Shanghai SSE melonjak 2.58 peratus kepada 2,925.72.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank susut lima sen kepada RM8.99, Public Bank turun dua sen kepada RM23.48, Tenaga merosot 28 sen kepada RM12.48, Petronas Chemicals turun satu sen kepada RM8.37 manakala CIMB naik empat sen kepada RM5.32.

Bagi saham aktif, Ekovest merosot dua sen kepada 83 sen, Iskandar Waterfront City dan Lambo masing-masing menambah setengah sen kepada 94.5 sen dan enam sen, DWL Resources turun setengah sen kepada 63.5 sen dan Bumi Armada kekal pada 21 sen.

Indeks FBM Emas susut 12.97 mata kepada 11,629.39, Indeks FBMT 100 merosot 18.25 mata kepada 11,478.87 manakala Indeks FBM Emas Shariah susut 11.79 mata kepada 11,840.43.

FBM 70 meningkat 23.73 mata kepada 14,378.83 dan FBM Ace menambah 23.30 mata kepada 4,404.20.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 42.34 mata kepada 16,863.87, Indeks Produk & Perkhidmatan Industri turun 0.13 mata kepada 160.61 manakala Indeks Perladangan menambah 6.44 mata kepada 6,888.45.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.53 bilion saham bernilai RM1.89 bilion berbanding 1.52 bilion saham bernilai RM1.64 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran dikurangkan kepada 451.36 juta unit bernilai RM94.19 juta daripada 493.48 juta unit bernilai RM102.69 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 260.95 juta saham bernilai RM43.87 juta berbanding 267.10 juta saham bernilai RM51.27 juta.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 210.74 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (195.63 juta), pembinaan (327.86 juta), teknologi (100.78 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (41.11 juta) 229.61 juta), perladangan (36.61 juta), REIT (13.55 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (245.65 juta), penjagaan kesihatan (23.71 juta), telekomunikasi dan media (49.21 juta), dan utiliti (20.92 juta). – BERNAMA

 


Pengarang :