EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia ditutup rendah pada akhir dagangan pagi

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Bursa Malaysia ditutup rendah pada akhir dagangan pagi, diheret turun oleh aktiviti pengambilan untung dalam kalangan saham wajaran tinggi selepas keuntungan awal, kata peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.44 mata kepada 1,654.03 berbanding 1,655.47 pada 5 petang Isnin.

Indeks bergerak antara 1,650.21 dan 1,657.36 sepanjang urus niaga selepas dibuka 0.33 mata lebih tinggi pada 1,655.80.

Kedudukan pasaran bagaimanapun positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 347 berbanding 342, manakala 359 kaunter tidak berubah, 839 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.26 bilion unit bernilai RM896.02 juta.

Seorang peniaga berkata Bursa Malaysia dibuka tinggi, namun kembali rendah selepas 10 minit berurus niaga, diheret turun oleh jualan saham-saham wajaran tinggi, diketuai sektor kewangan.

Bursa Malaysia juga kekal terlebih beli, dan kedudukan ini menjejaskan potensi peningkatan dalam jangka terdekat.

“Unjuran secara menyeluruh masih tidak menentu, dengan perang tarif AS-China yang belum selesai merupakan isu terbesar dan akan terus menjejaskan sentimen.

“Sentimen kekal rapuh dengan pelabur melihat Sidang Kemuncak G-20 di Jepun sebagai arah tuju seterusnya dalam pertikaian perdagangan antara dua ekonomi terbesar di dunia yang melibatkan risiko aset,” kata peniaga itu.

Sementara itu, saham-saham Asia kebanyakannya lebih tinggi hari ini selepas Presiden Donald Trump menarik balik rancangannya untuk mengenakan tarif ke atas import Mexico, serta mengumumkan beliau menjangkakan akan bertemu pemimpin China Xi Jinping.

Bagi bursa serantau, Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.48 peratus kepada 3,203.32, Nikkei Jepun menambah 0.24 peratus kepada 21,184.98, Hang Seng Hong Kong meningkat 0.76 peratus kepada 27,789.05, Kospi Korea Selatan menambah 0.31 peratus kepada 2,105.20 manakala Shanghai SSE meningkat 1.87 peratus kepada 2,905.45.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM9.00, Tenaga turun lapan sen kepada RM12.68 dan Petronas Chemicals susut tiga sen kepada RM8.35.

CIMB menambah dua sen kepada RM5.30, manakala Public Bank tidak berubah pada RM23.50.

Bagi saham aktif, Ekovest meningkat satu sen kepada 86 sen, Iskandar Waterfront City menambah tujuh sen kepada RM1.01, Lambo dan Bumi Armada masing-masing naik setengah sen kepada enam sen dan 21.5 sen, namun DWL Resources merosot 1.5 sen kepada 62.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 5.58 mata kepada 11,647.94, Indeks FBMT 100 meningkat 3.36 mata kepada 11,500.48 manakala Indeks FBM Emas Shariah menokok 22.26 mata kepada 11,874.48, FBM 70 melonjak 58.66 mata kepada 14,413.76, manakala FBM Ace turun 34.40 mata kepada 4,346.50.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 44.78 mata kepada 16,861.43, Indeks Produk & Perkhidmatan Industri turun 0.33 mata kepada 160.41, namun Indeks Perladangan naik 11.69 mata kepada 6,893.70. – BERNAMA


Pengarang :