EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia ditutup rendah pada akhir dagangan pagi

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Bursa Malaysia ditutup rendah pada akhir dagangan pagi apabila pelabur membuat keuntungan secara menyeluruh, dalam kedudukan pasaran yang terlebih beli.

Pada 12.30 tengah hari, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.38 mata kepada 1,675.85 berbanding 1,682.23 pada penutupan Jumaat.

Indeks yang dibuka 2.95 mata lebih rendah pada 1,679.28, bergerak antara 1,674.40 dan 1,679.28 di sepanjang sesi pagi.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 446 berbanding 212, manakala 331 kaunter tidak berubah, 911 tidak diniagakan dan 47 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 918.34 juta unit bernilai RM657.82 juta.

Pelabur juga berhati-hati menjelang pertemuan antara Presiden Donald Trump dan rakan sejawatannya dari China Xi Jinping pada Sidang Kemuncak G20 di Jepun, minggu ini.

Ini susulan ketegangan yang berlaku antara Amerika Syarikat dan Iran.

Bagi saham wajaran tinggi, Axiata, Maxis dan Tenaga masing-masing turun lapan sen kepada RM4.97, RM5.73 dan RM13.82 manakala Sime Darby turun 12 sen kepada RM4.84.

Maybank meningkat dua sen kepada RM8.96, dan CIMB menambah lima sen kepada RM5.28.

Bagi saham aktif, Sapura Energy naik satu sen kepada 31.5 sen, Pegasus susut setengah sen kepada satu sen dan Niche Capital meningkat 1.5 sen kepada 4.5 sen.

Bursa Malaysia menggantung dagangan beberapa syarikat berkaitan tol, antara lain, MMC Corporation, sementara menunggu pengumuman baharu mengenai tawaran oleh Kementerian Kewangan untuk memperoleh 50 peratus miliknya, Projek SMART Holdings Sdn Bhd.

Sementara itu, Kumpulan Perangsang Selangor Bhd, kembali beroperasi pada 10 pagi selepas melaporkan kepada Bursa Malaysia bahawa ia telah menerima tawaran pengambilalihan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn Bhd (Sprint) oleh kerajaan membabitkan sejumlah RM1.98 bilion.

Indeks FBM Emas susut 56.13 mata kepada 11,793.38, Indeks FBMT 100 turun 56.95 mata kepada 11,647.06 manakala Indeks FBM Emas Shariah merosot 77.62 mata kepada 12,132.80.

FBM Ace turun 31.05 mata kepada 4,366.29 dan FBM 70 merosot 122.44 mata kepada 14,576.66.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 12.46 mata kepada 16,759.02, Indeks Produk & Perkhidmatan Industri susut 0.85 mata kepada 161.27 manakala Indeks Perladangan merosot 49.50 mata kepada 6,970.04. – BERNAMA


Pengarang :