EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia ditutup tinggi namun dagangan berhati-hati

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Selasa, disokong oleh pembelian saham berwajaran tinggi dan mewah terpilih, terutama kaunter telekomunikasi, perladangan serta pengangkutan dan logistik.

Bagaimanapun, keseluruhan pasaran masih berhati-hati dan pelabur memantau perkembangan mesyuarat dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) selama dua hari mulai hari ini.

“Pelabur menjangkakan Fed mengurangkan kadar faedah seawal-awalnya pada Julai, disebabkan kelembapan ekonomi AS akibat ketidaktentuan berkaitan perdagangan,” kata peniaga.

Beliau berkata sekarang adalah masa terbaik bagi para pelabur untuk mendapatkan saham nilai dan saham bersifat bertahan.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 14.36 mata kepada 1,652.76 daripada 1,638.18 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks barometer itu, yang dibuka 1.74 mata lebih rendah kepada 1,636.66 pagi ini, bergerak antara 1,636.18 dan 1,652.76 sepanjang dagangan hari ini.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 428 berbanding 357, manakala 386 kaunter tidak berubah, 697 kaunter tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.03 bilion unit bernilai RM1.72 bilion daripada 1.62 bilion unit bernilai RM1.43 bilion yang dicatatkan pada Isnin.

Axiata, yang mempunyai rancangan penggabungan dengan Telenor Group dari Norway, menyaksikan sahamnya melonjak 24 sen kepada RM4.95 sementara itu Sime Darby Plantation naik 18 sen kepada RM4.82, MISC meningkat 23 sen kepada RM7.20 dan Digi menokok 14 sen kepada RM4.95.

Pada bulan lepas, Axiata mengumumkan bahawa ia berbincang dengan Telenor Group untuk menggabungkan operasi mereka di Asia, termasuk pelan untuk menggabungkan anak syarikat masing-masing, Celcom Axiata Bhd dan Digi Com Bhd, menjadi pengendali mudah alih terbesar di Malaysia.

Bursa tempatan tidak berubah semasa dibuka pada Selasa dan kemudian menunjukkan prestasi bercampur-campur dengan pelabur mengamalkan sikap tunggu dan lihat menjelang mesyuarat Fed.

Selain Fed, bursa global juga akan mengalami turun naik menjelang dua mesyuarat dasar lain — oleh Bank of England dan Bank of Japan.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank turun tiga sen kepada RM8.96, Public Bank naik dua sen kepada RM23.04 dan Tenaga melonjak 26 sen kepada RM13.

Pembuat tiang keluli, Mestron Holdings Bhd, yang mula disenaraikan di Pasaran Ace Bursa Malaysia dengan premium empat sen hari ini, meningkat setengah sen untuk ditutup pada 16.5 sen.

Sementara itu, T7 menambah satu sen kepada 42.5 sen. Anak syarikat 51 peratus milik T7 Global Bhd itu menyasarkan untuk membida kontrak bernilai sehingga RM200 juta tahun ini.

Indeks FBM Emas menokok 77.78 mata kepada 11,616.46, Indeks FBMT 100 meningkat 81.17 mata kepada 11,471.45 dan Indeks FBM Emas Syariah melonjak 126.37 mata kepada 11,898.91.

FBM Ace menambah 3.78 mata kepada 4,353.52 dan FBM 70 naik 26.09 mata kepada 14,295.40.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 29.11 mata kepada 16,683.62 dan Indeks Perladangan meningkat 81.90 mata kepada 6,942.01, sementara Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri menokok 0.56 mata kepada 159.97.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 946.01 juta saham bernilai RM1.41 bilion daripada 820.87 juta saham bernilai RM1.21 bilion semalam.

Waran mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 472.21 juta unit bernilai RM119.00 juta berbanding 513.93 juta unit bernilai RM120.60 juta pada Isnin.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 609.66 juta saham bernilai RM181.86 juta daripada 283.78 juta saham bernilai RM100.03 juta.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 161.74 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan industri (205.78 juta), pembinaan (112.72 juta), teknologi (83.82 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (31.97 juta), hartanah (84.52 juta), perladangan (16.36 juta), REIT (7.67 juta), dana tertutup (16,900), tenaga (131.25 juta), penjagaan kesihatan (37.44 juta), telekomunikasi dan media (38.51 juta), pengangkutan dan logistik (22.77 juta) dan utiliti (11.46 juta). – BERNAMA


Pengarang :