EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia kukuh pada tengah hari

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi dengan ditutup kukuh pada tengah hari ini, mendapat rangsangan daripada aktiviti belian saham berharga murah dalam kaunter berkaitan indeks dan saham permodalan kecil di tengah-tengah sentimen pasaran global yang bertambah baik.

Pada 12.30 tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.88 mata kepada 1,648.97 daripada 1,644.09 pada 5 petang Selasa.

Indeks itu bergerak antara paras 1,647.25 dan 1,650.93 dalam sesi dagangan.

Seorang peniaga berkata prestasi Wall Street yang positif semalaman ditambah dengan ketegangan perang perdagangan Amerika Syarikat (A) dan China yang mereda telah membantu mencetuskan minat terhadap aset berisiko di seluruh dunia.

Dow Jones melantun semula untuk ditutup kepada 1,000 mata bagi tiga sesi dagangan lalu selepas Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome H. Powell berkata bank pusat itu sedang bersiap sedia untuk mengambil langkah mengekalkan pengembangan ekonomi sekiranya perang perdagangan yang dicetuskan oleh President Donald Trump itu melemahkan ekonomi.

“Kenyataan itu membayangkan kemungkinan berlakunya penurunan kadar faedah,” kata peniaga tersebut.

Di dalam negara, belian bersih asing menjadi positif bagi empat hari dagangan berturut-turut, yang merupakan satu petanda baik.

Keseluruhannya, suasana pasaran adalah positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 380 berbanding 262, dengan 326 kaunter tidak berubah, 922 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 920.4 juta unit bernilai RM712.59 juta.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.98, Public Bank meningkat empat sen kepada RM23.46 dan Petronas Chemicals menokok lima sen kepada RM8.33.

Tenaga tidak berubah pada RM12.82 tetapi CIMB susut empat sen kepada RM5.28.

Dalam kalangan saham yang diniagakan cergas, Ekovest naik dua sen kepada 79.5 sen, kedua-dua Bumi Armada dan Tiger Synergy menokok satu sen setiap satu masing-masing kepada 21 sen dan enam sen, tetapi Pegasus Heights susut setengah sen kepada satu sen.

Indeks FBM Emas naik 39.03 mata kepada 11,577.62, Indeks FBMT 100 meningkat 36.1 mata kepada 11,438.81, Indeks FBM Emas Shariah menokok 54.12 mata kepada 11,779.42, FBM 70 menambah 54.23 mata kepada 14,229.02 dan FBM Ace melonjak 32.07 mata kepada 4,264.06.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 14.35 mata kepada 16,830.92 dan Indeks Perladangan naik 17.81 mata kepada 6,872.96, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.64 mata kepada 159.57. – BERNAMA


Pengarang :