NASIONAL

Bursa Malaysia rendah susulan penstabilan berterusan

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Saham di Bursa Malaysia rendah dalam dagangan awal pagi ini dengan pasaran meneruskan penstabilannya ekoran FBM KLCI masih dalam keduduan terlebih beli , menjelang pertemuan antara Presiden Donald Trump dan rakan sejawatannya Xi Jinping pada Sidang Kemuncak G20 di Jepun.

Kerugian di kaunter wajaran tinggi – IHH Healthcare, IOI Corp dan CIMB mengheret turun indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) sebanyak 2.70 mata kepada 1,671.79 pada 9.10 pagi berbanding 1,674.49 pada penutupan Rabu.

Indeks dibuka 3.76 mata lebih rendah pada 1,670.73.

Bagaimanapun, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 115 berbanding 98, manakala 171 kaunter tidak berubah, 1,521 tidak diniagakan dan 103 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 82.27 juta bernilai RM38.04 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata FBM KLCI kekal terlebih beli dan penstabilan dijangkakan berterusan.

“Seperti biasa, institusi tempatan terus memberikan sokongan ketika sumber asing kurang berminat, dengan kedudukan ini akan mengekalkan penstabilan sederhana semasa untuk tempoh yang lebih lama,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata pasaran dijangkakan menyaksikan beberapa aktiviti pengambilan untung, dengan pelabur menunggu sebarang petunjuk mengenai kemajuan yang dicapai pada pertemuan antara Presiden China dan Amerika Syarikat (AS) itu.

Oleh itu, ia menjangkakan sokongan kekal pada paras 1,670-1,672, manakala paras bertahan pada 1,680 dan 1,690.

Selain itu, saham AS mengetuai kerugian global ekoran wujudnya kebimbangan selepas Trump memberi amaran untuk mengenakan tarif tambahan ke atas barangan China jika kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan perdagangan selepas pertemuan Trump-Xi di Jepun.

Antara saham wajaran tinggi, IHH turun enam sen pada RM5.71, IOI Corp susut empat sen kepada RM4.25 manakala CIMB merosot dua sen kepada RM5.36.

Sementara itu, Maybank dan Public Bank masing-masing tidak berubah pada RM8.92 dan RM23.02.

Bagi saham aktif, Focus Dynamic menambah setengah sen kepada 18.5 sen manakala SMTrack menokok satu sen kepada 21.5 sen.

Vsolar dan Iskandar Waterfront masing-masing tidak berubah pada 18.5 sen dan RM1.06.

Indeks FBM Emas susut 13.72 mata kepada 11,778.94, Indeks FBMT 100 turun 13.48 mata kepada 11,6433.25 manakala Indeks FBM Emas Shariah merosot 13.93 mata kepada 12,112.69.

FBM 70 menambah 4.53 mata kepada 14,617.83 manakala FBM Ace turun 1.73 mata kepada 4,453.59.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 5.29 mata kepada 16,727.31, Indeks Produk & Perkhidmatan Industri turun 0.23 mata kepada 160.54 dan Indeks Perladangan susut 17.18 mata kepada 6,955.80

-BERNAMA


Pengarang :