NASIONAL

Bursa Malaysia teruskan aliran harga meningkat

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Bursa Malaysia meneruskan aliran meningkatnya apabila dibuka lebih tinggi pagi ini, disokong oleh sentimen positif dalam pasaran.

Pada 9.06 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 1.22 mata kepada 1,656.69 berbanding 1,655.47 pada 5 petang Isnin.

Indeks dibuka 0.33 mata lebih tinggi kepada 1,655.80.

Kedudukan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 125 berbanding 52, manakala 191 kaunter tidak berubah, 1,519 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 107.57 juta bernilai RM49.52 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata terdapat beberapa tahap kestabilan dalam pasaran, yang disokong oleh pertikaian perdagangan yang semakin reda, selain potensi dasar monetari kerajaan AS yang akan terus memberi sokongan.

“Berdasarkan sentimen pasaran jangka pendek yang lebih tenang, kami menjangkakan peningkatan secara menyeluruh di kaunter saham berharga rendah secara bergilir-gilir dalam tempoh terdekat, selain aktiviti dagangan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata unjuran keseluruhan masih suram ekoran perang tarif AS-China yang masih belum selesai, yang masih merupakan halangan terbesar yang akan terus menjejaskan sentimen.

Ia berkata Bursa Malaysia kekal dalam kedudukan terlebih beli, dan ini mungkin akan menjejaskan potensi peningkatan dalam tempoh terdekat.

“Oleh itu, kami menjangkakan peningkatan kekal sederhana dengan belian secara terpilih selepas peningkatan kukuh yang menyaksikan indeks utama meningkat hampir lima peratus daripada paras terendahnya 1,580 mata sebulan lepas.

“FBM KLCI kini boleh menguji paras 1,657-1,660, sebelum melepasi tahap 1,673, dengan tahap sokongan masing-masing pada 1,650 dan 1,644 mata,” katanya.

Sementara itu, saham berharga rendah dan saham pasaran secara menyeluruh dijangkakan meningkat apabila peserta pasaran kembali ke pasaran yang turut menyaksikan belian semula saham terpilih, katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Tenaga meningkat enam sen kepada RM12.82, CIMB menambah tiga sen kepada RM5.31, Maybank susut dua sen kepada RM9.02 manakala Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing kekal pada RM23.50 dan RM8.38.

Bagi saham aktif, IRIS Corporation dan Scomi masing-masing meningkat setengah sen kepada 16 sen dan 6.5 sen, Ekovest menokok satu sen kepada 86 sen dan Iskandar Waterfront City meningkat tiga sen kepada 97 sen.

Indeks FBM Emas menambah 6.69 mata kepada 11,649.05, Indeks FBMT 100 meningkat 7.02 mata kepada 11,504.14 manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 8.95 mata kepada 11,861.17.

FBM 70 menambah 3.10 mata kepada 14,358.20 dan FBM Ace menokok 8.82 mata kepada 4,389.72.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 8.50 mata kepada 16,914.71 dan Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.01 mata kepada 160.75 manakala Indeks Perladangan naik 18.16 mata kepada 6,900.17.

-BERNAMA


Pengarang :