NASIONAL

Bursa Malaysia teruskan penurunan

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Bursa Malaysia meneruskan penurunan semalam untuk dibuka rendah pagi ini susulan penurunan semalaman di Wall Street di tengah-tengah pertelingkahan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China yang berterusan, kata para peniaga.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.70 mata kepada 1,643.04 daripada 1,650.74 pada 5 petang Rabu.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 6.66 mata kepada 1,644.08.

Suasana pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 111 berbanding 80, dengan 142 kaunter tidak berubah, 1,555 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 79.91 juta bernilai RM48.29 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata ketidakpastian yang berlanjutan berhubung ketegangan perdagangan AS-China telah menyebabkan sentimen berhati-hati dalam saham Malaysia yang mungkin berterusan sehingga sidang kemuncak G20 akan datang di Tokyo pada bulan ini dengan Presiden AS Donald Trump dijangka meningkatkan lagi retorik tarifnya.

Di dalam negara, terdapat beberapa petunjuk baharu susulan selesainya musim pelaporan pendapatan korporat baru-baru ini yang menyaksikan prestasi bercampur-campur yang berterusan.

“Kami berpendapat, kenaikan pasaran pada bulan lepas disebabkan diterutamanya prospek pendapatan korporat yang bertambah baik dan ini tidak memberi ruang yang besar bagi peningkatan dalam tempoh terdekat ini.

“Sehubungan itu, kami merasakan trend sederhana mungkin berterusan berikutan kekurangan petunjuk baharu dan ini dijangka menyebabkan FBM KLCI berlegar dalam jajaran kecil antara paras 1,645 dan1,660 buat masa ini,” kata firma penyelidikan itu.

Memandangkan saham berharga rendah juga mencatatkan prestasi bercampur-campur selepas pemulihan dalam beberapa sesi dagangan lepas, trend bercampur-campur ini dijangka terus kekal buat masa ini, kata firma itu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM8.98, Tenaga turun 14 sen kepada RM12.40, Petronas Chemicals jatuh lima sen kepada RM8.28, CIMB berkurangan satu sen kepada RM5.29 manakala Public Bank tidak berubah pada RM23.48.

Dalam kalangan saham yang diniagakan cergas, Greatech yang memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE naik lima sen kepada 66 sen, Scomi meningkat satu sen kepada 10.5 sen, DWL Resources susut setengah sen kepada 62.5 sen manakala Sapura Energy dan Daya Material tidak berubah masing-masing pada 30 sen dan satu sen.

Indeks FBM Emas turun 40.49 mata kepada 11,590.42, Indeks FBMT 100 susut 42.15 mata kepada 11,439.01 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 56.31 mata kepada 11,788.76.

FBM Ace berkurangan 17.59 mata kepada 4,431.36 dan FBM 70 turun 6.89 mata kepada 14,397.11.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 16 mata kepada 16,820.21 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.31 mata kepada 159.94 manakala Indeks Perladangan berkurangan 26.11 mata kepada 6,842.24.

-BERNAMA


Pengarang :