SELANGOR

Caj parkir MDKS bermula 1 Julai

 

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 3 JUN: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) bakal melaksanakan caj bayaran tempat letak kereta di kawasan pentadbirannya berkuatkuasa pada 1 Julai ini.

Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat berkata, jumlah keseluruhan tapak parkir dikenakan caj adalah 6,090 tapak.

Antara kawasan terbabit ialah Kuala Selangor, Tanjung Karang, Bestari Jaya, Puncak Alam dan Saujana Utama.

Katanya, kadar bayaran dikenakan adalah 50 sen sejam bermula jam 8 pagi hingga 6.30 petang (Isnin hingga Jumaat), kecuali pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum.

“Orang ramai yang meletakkan kenderaan di kawasan tempat letak kereta berbayar diingatkan supaya membuat bayaran caj parkir bagi mengelakkan daripada dikenakan kompaun.

“Ia sudah termaktub di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (MDKS) 2007 memberi kuasa kepada Majlis mengenakan caj meletak kereta dan memperuntukkan kuasa penguatkuasaan bagi pematuhan terhadap perintah ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rahilah berkata, pembayaran boleh dilaksanakan melalui beberapa kaedah iaitu kupon gores, pas bulanan, aplikasi telefon pintar “Smart Selangor Parking” dan “FlexiParking” melalui Google Play dan AppStore.

“Orang ramai boleh mendapatkan kupon gores yang berharga RM 5 (10 keping kupon) dan pas bulanan melalui ejen yang dilantik syarikat Suasa Efektif (M) Sdn. Bhd iaitu syarikat konsesi yang dipertanggungjawabkan untuk pengoperasian tempat letak kereta di kawasan pentadbiran MDKS.

Sebarang maklumat lanjut atau pertanyaan, boleh menghubungi Jabatan Penguatkuasaan MDKS di talian 03-32897385, atau laman sesawang rasmi di www.mdks.gov.my.


Pengarang :