Selangorkini
RENCANA PILIHAN SELANGOR

Central i-City meriahkan segi tiga emas Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

FOTO FIKRI YUSOF

SHAH ALAM, 15 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat merasmikan pusat membeli-belah Central i-City di Seksyen 7, Shah Alam.

Ketibaan baginda kira-kira 11.35 pagi disambut Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan isteri, Masdiana Muhammad; Timbalan Pengerusi i-Berhad, Dato’ Eu Hong Chew; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Central Pattana Public Company Limited (CPN) Thailand, Preecha Ekkunagul serta Ketua Pegawai Pembangunan (Pembangunan) CPN, Wallaya Chirathivat.

Dimulakan dengan persembahan pemenang Thailand Got Talent 2012, Leng Rachanikara, majlis perasmian disempurnakan Sultan Sharafuddin bersama tetamu kehormat dengan menekan butang khas di atas pentas serta disusuli tayangan video khas.

Pembinaan Central i-City yang terletak di Segi Tiga Emas Selangor adalah projek antarabangsa pertama CPN dan anak syarikat i-Berhad, I-City Properties Sdn Bhd (ICP) dari Malaysia menerusi pegangan 60% – 40% dengan nilai pelaburan lebih RM850 juta.

CPN adalah syarikat berpengalaman dengan rekod membina 33 pusat membeli-belah lebih 40 tahun di Thailand.

Dengan tawaran 940,000 kaki persegi, ruang jualan kreatif untuk penduduk tempatan Klang dan Shah Alam, pusat membeli-belah enam tingkat itu mempunyai lebih 350 kedai jualan dengan memaparkan reka bentuk termoden dari Thailand.

Antara ciri menarik yang boleh didapati adalah gedung membeli-belah Sogo pertama di luar Kuala Lumpur, pasar raya Village Grocer serta skrin panggung wayang terbesar di dunia, Samsung Onyx di Tanjung Golden Village (TGV).

Bagi meraikan pembukaan besar-besaran Central i-City, pengunjung berpeluang menikmati tawaran promosi termasuk pengalaman membeli-belah di ‘Chatuachak Weekend Market’ sehingga 30 Jun ini.

‘Chatuachak Weekend Market’ diinspirasikan daripada salah satu pasar terbesar dan terkenal di Bangkok, ‘Little Chatuchak’.


Pengarang :

Related posts

MB: Titah DYMM Sultan bukti Selangor berjaya laksana janji

Malaysia dapat semula AS$322 juta dana 1MDB

Afeeqa Afeera Abdul Rasol

Karnival 3W jelajah Klang 30 Mac