NASIONAL

CEO guna dokumen palsu didakwa menipu

KOTA BHARU, 19 Jun : Seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menipu dengan menggunakan dokumen palsu yang dilakukannya pada Jun 2016 lepas.

Tertuduh, Wan Muhd Zamri Wan Salleh, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 27 Jun 2016 di Wisma Al-Quds Travel Sdn Bhd di sini telah dengan curangnya memperdaya Shukri Mamah dengan menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Telegraphic Transfer Bank Muamalat dengan nombor rujukan 780182, 779875, 779877 dan 780179 yang mana tertuduh mengetahui bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Berikutan itu tertuduh telah didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kamarul Hasyime kemudiannya menetapkan RM5,000 sebagai wang jaminan dengan seorang penjamin dan tertuduh kemudiannya membayar jaminan berkenaan.

Kes itu kemudiannya ditetapkan disebut semula pada 29 Julai.

Tertuduh diwakili peguam, Mohd Illias Mohd Noor dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ho Zee Xing. -BERNAMA


Pengarang :