NASIONAL

Chikungunya: Dua lagi kes dikesan di Kota Setar

ALOR SETAR, 29 JUN: Dua lagi kes demam Chikungunya dikesan di Kota Setar, menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti wabak itu di Kedah 37 orang setakat ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata pertambahan dua kes itu dikesan di deretan kedai berhampiran City Plaza di sini, manakala tiada kes baharu dilaporkan di Simpang Kuala dekat sini.

“Walaupun terdapat peningkatan kes dalam wabak ini, siasatan menunjukkan bahawa kesemua kes terdedah kepada jangkitan sebelum aktiviti kawalan dilaksanakan berdasarkan tarikh mula tanda dan gejala atau tarikh onset,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Norhizan berkata aktiviti kawalan vektor di Simpang Kuala yang bermula 25 Jun lalu diteruskan dan sebanyak 97 premis di sekitar kawasan tersebut diperiksa.

“Sebanyak 12 kompaun telah dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dikeluarkan kepada pemilik premis yang membiak Aedes.

“Pegawai kami turut melakukan pemeriksaan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes di sekitar kediaman dan premis perniagaan,” katanya.

Dr Norhizan berkata pihaknya turut memaklumkan kepada hospital dan klinik swasta untuk melaporkan kes yang mempunyai tanda dan gejala berkaitan penyakit itu kepada pejabat kesihatan daerah.

Katanya, orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit sendi terutama penduduk di sekitar lokaliti terlibat dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di klinik atau hospital berdekatan.

-BERNAMA

 


Pengarang :