EKONOMINASIONAL

China mahu cari penyelesaian secara baik berkaitan perang perdagangan

 

KUALA LUMPUR, 24 Jun : China menyatakan bahawa ia mahu mencari penyelesaian secara baik berkaitan perang perdagangannya dengan Amerika Syarikat, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata Beijing memberi jaminan kepada Malaysia bahawa ia tidak mahu memanjangkan perang perdagangan itu.

“China mencari penyelesaian secara baik berdasarkan asas saling menghormati dan kemakmuran bersama. Kita menyokong pandangan itu dan berharap akan ada penyelesaian secara baik yang akan memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya

Lim berkata demikian dalam ucapannya semasa majlis makan tengah hari bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, hari ini.

Beliau berkata perang perdagangan tidak memberi manfaat kepada sesiapa sahaja kerana ia akan menjejaskan perdagangan global bagi tempoh jangka panjang.

“Kita semua akan rugi, tidak akan ada pemenang dan apa faedahnya yang kita dapat kalau kita menjadi orang yang kalah,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata Malaysia menyokong Inisiatif Satu Jalur Satu Laluan China dan tidak melihatnya sebagai percubaan China untuk mendominasi negara-negara lain.

Beliau berkata inisiatif itu adalah berlandaskan saling mendapat manfaat dan kemakmuran.

Lim juga menggesa semua negara agar mematuhi undang-undang dan nilai-nilai antarabangsa.

“Jika anda memperkatakan tentang kedaulatan undang-undang, anda perlu menunjukkan kepimpinan melalui teladan.

“Anda tidak boleh bercakap mengenai kedaulatan undang-undang, kritikan terbuka, perdagangan bebas dan adil namun pada masa yang sama anda melanggar norma-norma yang anda perkatakan.

“Anda perlu menghormati nilai dan norma ini dan tidak boleh membuli,” katanya.-BERNAMA


Pengarang :