RENCANA

Dalami al-Quran bersama Teacher Iylia

OLEH AFIX REDZUAN

Disebalik penampilan mengikut fesyen masa kini, tiada siapa menduga beliau sebenarnya mempunyai kemahiran membaca al-Quran dengan betul.

Kemahiran itu bukan sahaja memberikan kelebihan kepadanya, malah dikongsikan kepada masyarakat apabila mengambil keputusan menjadi guru al-Quran supaya keberkatan ilmu dinikmati bersama.

Demikian sedikit sebanyak gambaran terhadap Nuriylia Nordin dari Klang, Selangor yang menceburi bidang pengajian al-Quran bagi membudayakan amalan mengaji dalam kalangan masyarakat.

Segalanya bermula ketika melanjutkan pengajian di sebuah universiti swasta di Johor Baharu kira-kira empat tahun lalu, gadis berusia 25 tahun tidak lagi menoleh ke belakang meneruskan minatnya walaupun kini sudah mempunyai karier sendiri.

“Sebenarnya mengajar mengaji bukanlah sesuatu yang saya rancangkan dan anggap sebagai rezeki terpijak. Ketika saya belajar dalam bidang diploma di Johor Baharu, saya merupakan tutor di pusat tuisyen dan mengajar subjek beroientasikan peperiksaan seperti matematik, sains dan bahasa Inggeris.

“Bermula daripada seorang ibu pelajar yang mahu mencari guru mengaji untuk anaknya, saya memberanikan diri untuk mencuba kerana saya pernah mencatatkan keputusan baik dan bergelar Mumtaz dalam Peperiksaan Sijil Rendah Agama (PSRA) di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), Seksyen 19.

“Saya boleh mengaji dengan betul tambahan ketika itu mahu mencari duit sampingan bagi menampung kos pelajaran tanpa mahu membebankan ibu bapa,” katanya memulakan kisah pengalaman sebagai pengajar.

Mengakui dirinya bukanlah seorang yang suka menghabiskan masa melepak seperti orang lain, beliau lebih berminat melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan pahala berpanjangan sambil diiringi restu ibu tersayang.

Bercerita lanjut mengenai inisiatif yang dilakukannya, beliau yang lebih selesa dipanggil ‘Teacher Iylia’ berkata, asas pertama untuk belajar adalah jangan berpandangan al-Quran itu rumit dan susah.

“Asas mengaji adalah jangan berasa al-Quran itu rumit. Saya perasan ramai pelajar susah apabila mengaji dan berasa muka surat pertama sudah panjang hingga mendatangkan ketakutan.

“Saya percaya mereka yang belajar mengaji mahu berubah. Ketakutan itu wujud kerana dahulu ibu bapa hantar anak untuk mengaji dan bukannya mencari ilmu pengetahun,” katanya.

Berkongsi cara mengajar yang dipraktikkan, Iylia lebih selesa menerangkan teknik sebutan setiap huruf atau makhraj dengan cara yang betul tanpa menghukum pelajar walaupun terdapat kesalahan.

“Makhraj sebenarnya paling penting untuk menimbulkan rasa cinta membaca al-Quran. Apabila kita membaca dengan betul, maka akan timbul rasa yakin untuk mengaji.

“Walaupun makhraj adalah topik mudah tetapi ia satu topik yang mampu melonjakkan kita mendalami perkara seterusnya. Cara saya sampaikan bukan menghukum, saya nak pelajar rasa selesa dan mereka mempunyai keyakinan meneruskan aktiviti mengaji selamanya,” katanya.

Katanya, seorang pelajar boleh menghabiskan senaskah al-Quran dalam tempoh tiga bulan jika memahami makhraj dan membacanya secara konsisten setiap hari.

Menggunakan gelaran ‘Teacher Iylia’ membezakan dirinya dengan guru al-Quran lain yang sinonim dipanggil ‘Ustazah’.

Baginya, gelaran ‘Ustazah’ merupakan satu tanggungjawab besar dan tidak sama sekali mudah untuk dipikul masa kini.

Menyingkap rutin hariannya, beliau akan ke rumah pelajar selepas selesai kerja dengan memperuntukkan masa mengajar sekitar satu jam dari Isnin sehingga Khamis.

Katanya, setiap muslim perlu mempelajari teknik bacaan ayat al-Quran yang betul khususnya surah Al-Fatihah kerana ia merupakan surah utama dibaca dalam solat malahan kesilapan biasa dilakukan ketika membacanya pada sebutan ‘Alhamdulillah’ dan ‘walad dhollin’.

“90 peratus kesalahan bacaan adalah pada makhraj. Kebanyakan orang sudah biasa dengan pendengaran tetapi tidak menganalisa menerusi bacaan. Saya nak mereka (pelajar) faham supaya mereka boleh terus mengaji.

“Saya tidak mengajar tajwid secara khusus tetapi apabila mereka faham makhraj yang betul, secara tidak langsung mereka memahami tajwid. Apabila mereka sudah faham banyak tajwid, mereka bersemangat untuk teruskan mengaji.

“Saya mahu mereka mengaji atas perasaan sendiri, saya nak tukar mentaliti itu supaya masyarakat kini mencintai al-Quran,” katanya.

Dengan tuntutan kerja yang terpaksa dihadapi setiap hari, Iylia mengakui kesabaran yang tinggi sangat diperlukan ketika mengajar terutama apabila berhadapan dengan pelajar berusia dan sudah sebati dengan cara sebutan tersendiri.

“Cabaran terbesar adalah buat dua kerja tetapi ini jalan yang saya pilih dan saya gembira melakukannya. Mengajar perlu ada kesabaran kerana saya mengajar orang dewasa dan perlu hormat mereka selain berhadapan pelajar orang kurang upaya (OKU).

“Tidak semua hari yang kita lalui indah. Kadang-kadang kesabaran diuji apabila pelajar lupa apa yang telah diajar. Berhadapan pelajar dalam lingkuan usia 40an hingga 50an, kita perlu memberikan mereka semangat,” katanya.


Pengarang :