NASIONAL

Didik diri elak guna beg plastik, kurang pencemaran

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 JUN : Masyarakat disaran mendidik diri tidak menggunakan beg plastik ketika membeli-belah sekali gus masalah pencemaran dapat dibendung sebaiknya.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri juga komited melaksanakan kempen hindari plastik sekali guna di jabatan Kerajaan Selangor mulai 1 Julai ini.

Katanya, ia bermula di jabatan kerajaan dahulu sebelum diperluaskan di seluruh negeri ini pada masa akan datang.

“Menerusi kempen ini kita mahu mendidik rakyat secara berperingkat supaya menjadi tauladan kepada semua.

“Rakyat juga perlu sedar penggunaan beg plastik yang tidak terkawal ini akan mencemar alam sekitar kita terutama sungai dan laut sekiranya plastik itu tidak dikendali dengan baik.

“Oleh itu, rakyat dinasihatkan untuk membawa beg guna semula untuk membeli-belah dan hentikan penggunaan beg plastik secara berterusan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mengulas sama ada Kerajaan Negeri akan melaksanakan inisiatif seperti Pulau Pinang tidak memberi beg plastik setiap Isnin, Loy Sian berkata, setakat ini belum ada perancangan sedemikian.

“Setakat ini belum ada perancangan namun usaha mengutip 20 sen setiap satu plastik di semua pasar raya di Selangor menerusi setiap pihak berkuasa tempatan tetap diteruskan.

“Ia sebagai langkah mengurangkan orang ramai untuk menggunakan beg plastik sekali gus membawa beg kitar semula,” katanya.

Terdahulu, memetik kenyataan laporan BH Online, semua peniaga di Pulau Pinang diminta berhenti memberi beg plastik kepada pembeli pada setiap Isnin, mulai 1 Julai depan, dalam usaha mengurangkan penggunaannya.


Pengarang :