BERITA UTAMANASIONAL

Dr Wan Azizah seru umat Islam kembali kepada fitrah, jauhi rasuah

PUTRAJAYA, 4 JUN: Umat Islam kembali kepada fitrah suci selepas berjaya menempuhi Ramadan sewajarnya menolak serta menjauhi amalan rasuah, kleptokrasi, kronisme dan lain-lain penyelewengan hak dalam segala urusan hidup, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, fitrah suci yang sentiasa menginginkan kehidupan bersama yang harmoni seiring nilai sosial dan kemanusiaan yang tinggi mesti diterjemahkan sebaik-baiknya dalam sambutan Aidilfitri kali ini.

“Umat Islam sewajarnya menolak dan menjauhi rasuah, kleptokrasi, kronisme dan apa jua penyelewengan hak dalam segala urusan hidup ini kerana mereka yang bertakwa sentiasa memastikan setiap rezeki disuap ke mulut sendiri serta ahli keluarga mereka adalah rezeki halal dan diredai Allah.

“Namun, sayang kerana fitrah suci ini terhakis sedikit demi sedikit oleh kerana terpesona dengan tipu daya duniawi yang pelbagai. Saya sungguh berasa gerun apabila memerhatikan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, ‘Setiap daging yang tumbuh daripada sesuatu sumber yang haram, maka neraka lebih layak baginya’.

“Jadi kita perlu menjaga nilai setiap rezeki yang dimakan, maka begitu jugalah rezeki yang dikongsikan bersama-sama orang di luar keluarga kita hendaklah dipastikan suci dan bersih daripada segala sumber diragui,” katanya dalam perutusan Aidilfitri di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, bagi penganut penganut agama lain, mereka dapat merasai kemuliaan Aidilfitri ini melalui tingkah laku dan sikap baik yang ditonjolkan oleh umat Islam kerana mereka ialah ummatan wasatan yang sentiasa menjadi contoh teladan sejagat.

“Saya tanpa ragu berpendirian Aidilfitri adalah suatu detik yang terbaik untuk kita menonjolkan keharmonian kaum di Malaysia,” katanya.

Timbalan perdana menteri turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati di jalan raya dan sentiasa memandu dengan berhemah dalam keghairahan dan kegembiraan menyambut Aidilfitri.

Beliau juga mengingatkan umat Islam agar memastikan juadah yang disediakan pada Aidilfitri, tidak mengabaikan faktor-faktor kesihatan.

“Demikian dalam persiapan Aidilfitri kali ini, berpada-padalah dalam menyediakan juadah.

“Pastikan juadah yang disediakan tidak mengabaikan faktor-faktor kesihatan, bak kata orang kurangkan manis pada makanan tetapi lebihkan manis pada senyuman.

“Sementelah elakkan pembaziran, sesungguhnya perbuatan membazir itu amat dibenci oleh Allah,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :