Selangorkini
PORT DICKSON, 15 Jun — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (empat, kanan) diiringi Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri) beramah mesra bersama orang ramai yang hadir pada Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Port Dickson di Perkarangan Pejabat Tanah dan Daerah Port Dickson malam ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Dr Wan Azizah simpati dengan keluarga Azmin

PORT DICKSON, 16 JUN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang terpalit dengan kontroversi video lucah.

Katanya, beliau menolak sebarang amalan ‘gutter politics’ (politik kotor) kerana beliau telah melalui pengalaman tersebut.

“Saya menolak ‘gutter politics’ ini sebab saya dah laluinya (dan) saya bersimpati dengan keluarga Azmin,” katanya ketika mengulas pengakuan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai lelaki dalam video seks membabitkan menteri berkenaan.

Beliau menegaskan politik kotor tidak sepatutnya berlaku dan sebalik semua pihak perlu memberi tumpuan untuk membangunkan negara.

“Kita rakyat Malaysia kena fikirkan lebih mengenai semua kerana kita nak bangunkan negara kita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran suaminya, yang juga Anggota Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Anwar ketika ditanya mengenai kononnya video berkenaan dicipta olehnya dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bertujuan untuk memecah belahkan parti, Presiden PKR itu berkata, ia merupakan satu fitnah.

“Apa alasan untuk kita buat? Ada yang kata sebab ancaman, ancaman apa?,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :