SELANGOR

Dua anak istimewa terima sumbangan YAWAS

 

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JUN: Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) memperuntukkan sejumlah RM5,000 kepada dua penerima Bantuan Anak Istimewa Selangor (ANIS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal, baru-baru ini.

Ahli Dewan Negerinya (ADN), Mazwan Johar berkata, dua anak istimewa iaitu Muhammad Ikmal Mohd Kamarul Arifin dan Siti Umaiyah Mohamad Sobri merupakan penerima sulung untuk program yang baharu dilaksanakan tahun ini.

Katanya, kedua-dua anak istimewa berusia 10 dan 12 tahun itu mengidap penyakit ‘cerebral palsy’ dan memerlukan kerusi roda khas untuk kemudahan mobiliti mereka.

“Sumbangan ini bertujuan untuk membiayai pembelian kerusi roda terbabit.

“Saya berharap bantuan yang kami usahakan ini meringankan sedikit sebanyak beban yang dipikul mereka. Saya juga mendoakan kedua-dua keluarga supaya dapat terus menempuh kehidupan dihari muka dengan tabah dan sabar,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan itu, baru-baru ini.

Hadir sama Pengurus Besar YAWAS, Gan Pei Nei.

Pada masa sama, Mazwan berkata, sebagai ADN kawasan itu beliau berbesar hati kerana berjaya mendapatkan perhatian daripada YAWAS untuk membuat pemberian sulung kepada pemohon yang berjaya dalam kawasan DUNnya.

“Saya dimaklumkan YAWAS memilih DUN saya sebagai tempat pertama untuk dirasmikan pemberian di bawah skim ini kerana menilai saya antara ADN yang paling menyerlah dalam membuat kerja kebajikan dan rekod komitmen saya menyokong dan menghadiri program YAWAS.

“Alhamdulillah, sememangnya itulah pengharapan yang saya letakkan apabila menunjukkan sokongan dan minat saya kepada aktiviti kelolaan YAWAS dan lain-lain badan atau organisasi kebajikan,” katanya.

Bermula tahun ini Kerajaan Negeri memperkenalkan satu lagi skim Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang baharu iaitu ANIS.

Ibu bapa yang mempunyai anak dalam kategori OKU berumur kurang daripada 18 tahun boleh memohon untuk mendapatkan bantuan ini.

Kepada pemohon yang berjaya, mereka akan mendapat bantuan yang bernilai maksima sehingga RM5,000 dengan sekali pemberian.


Pengarang :