SELANGOR

Dua fokus Selangor kurang penggunaan plastik

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 15 JUN: Kempen menghindari plastik sekali guna (single-use plastics) dan penggunaan penyedut minuman besi menjadi fokus utama Kerajaan Negeri, bagi mengurangkan pengunaan plastik menjelang 2020.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, sebagai permulaan, jabatan kerajaan akan dijadikan sebagai kawasan perintis.

“Ia akan membabitkan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK), Pihak Berkuasa Tempatan dan syarikat berkanun terlebih dahulu sebelum diperluaskan di seluruh negeri, pada masa akan datang.

“Pada masa sama, kempen cintai bumi bakal diperluaskan di sekolah seluruh Selangor, sekurang-kurangnya dua atau tiga buah sekolah setiap bulan.

“Kami berharap, pelajar yang akan meningkat dewasa dapat menerapkan nilai penjagaan alam sekitar, oleh itu dua fokus penting ini akan diberi perhatian tahun ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutupan ‘Cintailah Bumi Kita’ Program Perlindungan Alam Sekitar, di sini hari ini.

Hadir sama, Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, Marianie Abdul Rahman.

Berkuat kuasa pada 1 Julai ini, semua premis makanan di Selangor dilarang menyediakan penyedut minuman plastik kepada pelanggan.

Loy Sian berkata, ia bertujuan mendidik dan meningkatkan tahap kesedaran penduduk berhubung kesan jangka panjang penggunaan plastik sekali guna, khususnya straw plastik terhadap kesihatan dan alam sekitar.

“Sehingga kini, kerajaan menerima pelbagai reaksi positif daripada pengusaha dan pengguna sejak dimulakan 1 April lalu,” katanya.


Pengarang :