NASIONAL

Dua lagi pesakit Orang Asli dimasukkan ke hospital

 

KUALA TERENGGANU, 30 Jun : Dua lagi pesakit Orang Asli dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu di Kuala Berang semalam, kata Pengarah Kesihatan negeri Dr Mohd Jusoh.

Beliau berkata dua pesakit perempuan yang berasal dari Kampung Sungai Berua itu masing-masing berumur 18 dan 39 tahun serta pernah mempunyai sejarah kontak dengan seorang lagi pesakit Orang Asli yang disahkan positif campak (Measles) sebelum ini.

“Kedua-dua mereka datang sendiri ke Hospital Hulu Terengganu setelah demam dan batuk.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit Orang Asli yang sedang mendapatkan rawatan di hospital itu seramai lima iaitu empat perempuan dan seorang lelaki. Kesemua mereka dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak 12 Jun, Hospital Hulu Terengganu menerima kemasukan 17 pesakit Orang Asli dengan 12 daripadanya disahkan positif campak, dua negatif dan tiga lagi masih menunggu keputusan makmal. Seramai 12 pesakit dibenar pulang secara berperingkat mulai 20 Jun.

Terengganu mempunyai empat perkampungan Orang Asli di tiga daerah iaitu dua di Hulu Terengganu manakala yang lainnya di Besut dan Kemaman.

Dr Mohd berkata setakat ini, aktiviti survelan dan pengesanan kes secara aktif di perkampungan Orang Asli di Hulu Terengganu telah dilakukan terhadap 493 orang dan akan terus dijalankan dari masa ke semasa.

-BERNAMA


Pengarang :